suria

PAU 2014: Perwakilan Persoal Kemampuan BN Bina Rumah Mampu Milik

KUALA LUMPUR: Ketua Umno Bahagian Bukit Bintang, Datuk Zainal Mohd Rafique pada Khamis mempersoal kemampuan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membina sejuta rumah mampu milik sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau yang merupakan wakil Wilayah Persekutuan dalam membahas ucapan dasar presiden parti pada Perhimpunan Agung Umno 2014 berkata, rancangan membina rumah mampu milik itu telah dinyatakan dalam aku janji menjelang PRU-13 tahun lalu.

Menurut Zainal Abidin, sejuta rumah yang dinyatakan itu termasuk 500,000 unit di bawah Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) yang digerakkan oleh sektor awam dan swasta.

Beliau memberitahu, perumahan mampu milik kini merupakan masalah yang tidak berkesudahan khususnya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur.

"Adakah kita yakin mampu menyelesaikan masalah perumahan mampu milik sebelum PRU-14.

"Mungkin, jika kerajaan-kerajaan negeri yang mempunyai kuasa ke atas tanah-tanah, kementerian dan agensi berkenaan memberi kerjasama agar ia dapat ditunaikan sebelum PRU-14," katanya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Khamis.

Zainal Abidin berkata, kerajaan diminta supaya menjadikan perumahan mampu milik di bandar sebagai agenda penting dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).

Tambahnya, jika ia tidak dilaksanakan dengan serius maka kerajaan akan kehilangan kerusi-kerusi Parlimen di kawasan bandar pada pilihan raya umum akan datang.

"Ketika itu ia akan menjadi lebih sukar untuk Umno mencapai agenda politik yang tersurat dan tersirat.

"Di sinilah Umno perlu mengimbangi antara kehendak rakyat terutama yang berada di bandar dan wadah serta misi perjuangan parti," jelas beliau. 

Umno, Bukit Bintang, PAU 2014

Artikel Berikut

Artikel Lain