suria

Denggi: 341 Tapak Projek Berisiko Jadi Sarang Biak Aedes

KUALA LUMPUR: Sebanyak 341 tapak projek di seluruh negara dikesan berisiko menjadi sarang pembiakan Aedes menerusi pemeriksaan mengejut yang dijalankan baru-baru ini.


Jumlah itu adalah 71.34 peratus daripada 478 tapak binaan yang diperiksa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) antara 10 Mac 2014 sehingga 30 September lalu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof berkata, menerusi pemeriksaan mengejut itu, sejumlah 100 kompaun dikeluarkan dan 137 premis diarahkan tutup bagi tujuan pembersihan.

Selain itu, katanya, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) juga mengarahkan 127 lagi premis melakukan pembersihan ketika operasi.

"Sebanyak 57 daripada 478 tapak bina tersebut atau 11.92 peratus melibatkan projek kerajaan, di mana 19 kompaun dikeluarkan, 12 premis diarahkan tutup dan 10 diarahkan membuat pembersihan," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Menerusi pemeriksaan yang bertumpu kepada Hotspot Denggi di Lembah Klang dan Seremban pula, sejumlah 300 tapak binaan diperiksa.

Daripada jumlah itu, 238 tapak bina atau 79.33 peratus dikesan mempunyai masalah berkaitan pembiakan nyamuk Aedes merangkumi 219 tapak di  Selangor dan selebihnya di Wilayah Persekutuan dan Seremban.

Susulan itu, kata Fadillah, CIDB mengeluarkan Pekeliling Tanggungjawab Kontraktor kepada semua kontraktor berdaftar sebagai peringatan supaya memberi perhatian serius terhadap tanggungjawab berkaitan keselamatan dan kesihatan, terutama orang awam.

Pekeliling dikeluarkan pada 1 September 2014 turut menyenaraikan peruntukan berkaitan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Akta 154).

"CIDB akan mengambil tindakan disiplin ke atas kontraktor yang disabitkan kesalahan di mahkamah jika berlaku pelanggaran undang-undang bertulis, termasuklah berkaitan pembiakan aedes di tapak bina," katanya.

CIDB dan Jabatan kesihatan juga mengadakan seminar kepada penggiat industri binaan di Selangor pada 24 September 2014 bagi meningkatkan kefahaman dan kesedaran mengenai wabak denggi yang sebahagiannya berpunca dari pengurusan tidak sempurna di tapak binaan.

Selain itu, kementerian itu juga mengingatkan golongan profesional seperti jurutera dan arkitek bahawa mereka juga bertanggungjawab dalam memastikan projek seliaan mereka tidak mengancam keselamatan dan kesihatan orang ramai.

"Tanggungjawab ini tidak boleh diletakkan dibahu kontraktor semata-mata, sebaliknya ia adalah tanggungjawab bersama," katanya.

Selain pemeriksaan itu, Ops Mega dilaksanakan bermula dari 15 Julai 2014 hingga 30 September 2014, iaitu satu inisiatif Kementerian Kesihatan di mana  CIDB memainkan peranan sebagai anggota Pasukan Petugas Khas Denggi bersama-sama dengan Jabatan Kesihatan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan JKKP.

Ia dijalankan di seluruh negara secara serentak dan diberikan tumpuan khusus kepada kawasan tumpuan denggi di Lembah Klang dan Seremban.

Walaupun Ops Mega tamat pada 30 September 2014, CIDB akan terus memantau dan mengesan tapak bina berisiko menjadi tempat pembiakan Aedes dan akan menyalurkan maklumat tersebut kepada Jabatan Kesihatan.

Artikel Lain