suria

Shafie Harap Bajet 2015 Beri Perhatian Aspek Keselamatan Di Sabah

SEMPORNA: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berharap bajet yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat depan, memberi perhatian terhadap aspek keselamatan di Sabah.

Katanya bagi memastikan keadaan keselamatan di Sabah terus terjamin, kerajaan pusat diharap menambah aset peralatan dan kemudahan latihan bagi meningkatkan lagi struktur keselamatan di pantai timur Sabah atau Zon SelamatTimur Sabah (Esszone).

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat sunat Aidiladha dan Majlis Korban pada Ahad.

Mohd Shafie berkata pihaknya berharap bajet itu turut memberi perhatian terhadap pembangunan di luar bandar.

"Pembangunan di luar bandar sangat penting untuk memastikan ekonomi masyarakat di luar bandar boleh terus dimajukan ... selain mengukuhkan ekonomi negara," katanya.

Berhubung pelanjutan perintah berkurung yang dikuatkuasakan di enam daerah di pantai timur Sabah, Mohd Shafie yang mengalu-alukan langkah itu berkata ia berkesan untuk memastikan tiada lagi pihak yang cuba menceroboh dan melakukan jenayah di perairan negara.

"Arahan itu (perintah berkurung) bagi memastikan kedaulatan dan keamanan negara khususnya di Sabah terus terpelihara," katanya.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman hari ini berkata perintah berkurung yang dikuatkuasakan di enam daerah di pantai timur Sabah iaitu Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau dilanjutkan hingga 21 Oktpber.

Perintah berkurung itu yang dilaksanakan sejak 19 Julai kini memasuki fasa keenam selepas fasa kelima berakhir hari ini.

bajet 2015

Artikel Lain