suria

Aset APMM Kawal Perairan Negara 24 Jam Kekang Nelayan Asing

Anggota APMM menjalankan rondaan sekitar perairan negara untuk memastikan tiada pencerobohan di kalangan nelayan asing.
KUANTAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan mempertingkat penguatkuasaan di kawasan perairan negara dengan pemantauan dan rondaan 24 jam sehari bagi mengekang kegiatan pencerobohan nelayan asing daripada terus berleluasa.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, menerusi pendekatan itu, kapal-kapal atau bot-bot APMM akan melakukan pertukaran tugas di lautan agar kawasan di bawah pemantauan APMM sentiasa terkawal dari sebarang pencerobohan.

"Sebelum ini bot-bot akan pulang ke pangkalan untuk melakukan pertukaran tugas dan ia mengambil masa yang lama untuk bot seterusnya kembali ke laut.

Ini menyebabkan kawasan yang berkenaan ditinggal tanpa kawalan dan memberi ruang nelayan-nelayan asing melakukan pencerobohan dan menangkap ikan di kawasan berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Sesi Dialog bersama nelayan kawasan Kuantan, Pekan dan Nenasi di pejabat APMM di sini, Khamis.

Turut hadir, Ketua Pengarah APMM, Datuk Mohd Amdan Kurish dan Anggota Dewan Undangan Negeri Peramu Jaya, Datuk Sh Mohmed Puzi Sh Ali.

Dalam dialog berkenaan Shahidan mendengar masalah pencerobohan nelayan asing khususnya dari Vietnam yang menggunakan lesen bot tempatan sering kali mengganggu aktiviti penangkapan ikan nelayan tempatan.

Mengulas lanjut Shahidan berkata APMM serius dalam menangani permasalahan para nelayan di perairan Laut China Selatan khususnya nelayan di Kuantan ekoran pencerobohan nelayan asing berkenaan.

Katanya, APMM juga akan menggerakkan pasukan sukarelawan, Sahabat APMM yang terdiri daripada nelayan atau anak-anak nelayan bagi membantu anggota APMM dalam operasi penguatkuasaan agar pencerobohan itu dibanteras habis-habisan.

"Sahabat APMM ini mungkin kita akan bagi kuasa menangkap atau menahan mana-mana nelayan asing yang didapati melakukan pencerobohan kawasan penangkapan ikan nelayan tempatan.

"Jika aset kita tak cukup, kita akan sewa bot-bot nelayan tempatan atau agensi yang lain asalkan pencerobohan ini dapat diatasi," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Amdan berkata, pihaknya akan memburu anggota APMM yang didapati menerima rasuah dari nelayan asing berkenaan agar mereka dilepaskan sekiranya tertangkap di lautan.

"Jika nelayan dapat tahu mana-mana anggota APMM yang menerima rasuah 'sotong kering' atau ikan yang ditangkap oleh nelayan asing berkenaan agar mereka dilepaskan sila buat laporan segera beserta bukti dan kita akan singkirkan anggota berkenaan dari APMM," katanya.


Artikel Lain