suria

Kerajaan Kaji Kenakan VEP Ke Atas Kenderaan Dari Thailand

Datuk Abdul Aziz Kaprawi
BUKIT KAYU HITAM: Kerajaan Malaysia sedang mengkaji kemungkinan mengenakan Permit Masuk Kenderaan (VEP) untuk kenderaan dari Thailand yang memasuki Malaysia. 

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata langkah itu bertujuan menyekat pengendali van dan teksi dari Thailand dari menyalahgunakan keistimewaan kebenaran beroperasi sehingga dua kilometer di sempadan Malaysia.

"Banyak kenderaan Thailand melanggar peraturan dengan menghantar penumpang sehingga ke Kuala Lumpur.

"Ini menjejaskan pendapatan pemandu teksi dengan teruk," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Unit Pencegah Penyeludupan di sini Selasa.

Beliau berharap keputusan itu dapat dilaksanakan mulai 15 Januari tahun depan, apabila VEP untuk kenderaan dari Singapura memasuki Malaysia berkuat kuasa. 

Pada 1 Ogos, Singapura meningkatkan caj VEP ke atas kenderaan asing yang berdaftar memasuki republik itu, dari 
S$20 hingga S $35 setiap hari, dan Permit Kenderaan Barangan dari S$10 hingga S$40 setiap bulan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia juga akan mengenakan VEP ke atas kenderaan asing yang memasuki negara ini dari Singapura melalui Johor.
VEP, Thailand

Artikel Lain