suria

Sikap PAS Punca PasMa Wujud

Phahrolrazi Zawawi
KUALA LUMPUR: Sikap dan pendirian PAS yang tidak jelas ketika berhadapan krisis berpanjangan membabitkan isu penggantian Menteri Besar Selangor menjadi punca penubuhan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa).

Mengakui kesal dengan sikap PAS, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dipelopori pemimpin dan ahli PAS itu bagaimanapun menegaskan tidak berhasrat untuk mengubah haluan PasMa untuk menjadi sebuah parti politik.

Presidennya, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, PasMa yang ditubuhkan pada 10 Ogos lalu merupakan saluran alternatif kepada rakyat Malaysia yang memberi fokus kepada isu politik negara, khususnya dalam memperkasakan Pakatan Rakyat.

"Setakat ini, tak terfikir untuk wujud sebuah parti politik baharu. Pada peringkat ini kita mahu kukuhkan lagi Pakatan Rakyat.

"Bagaimanapun sejak kebelakangan ini khususnya membabitkan isu politik di Selangor...tindakan PAS ternyata tidak jelas (berhubung kerjasama dalam Pakatan Rakyat)," katanya menerusi sebuah forum di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) pada Isnin malam.

Forum terbuka yang pertama kali dianjurkan PasMa itu bertajuk 'PAS Campur Umno: Ke Mana Halatuju?' turut menampilkan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa dan bekas pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Abdul Aziz Bari sebagai ahli panel.

Sejak awal penubuhannya dalam tempoh kurang sebulan, PasMa mencetuskan fenomena baharu di kalangan pakatan pembangkang apabila disebut-sebut bakal menggantikan peranan PAS dalam Pakatan Rakyat.

PasMa juga didakwa dianggotai golongan 'Anwarinas' iaitu kumpulan dalam PAS yang menyokong kepemimpinan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Phahrolrazi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Pangkalan Kundur berkata, PasMa bimbang wujudnya usaha pihak tertentu dalam PAS untuk bekerjasama dengan Umno ketika Pakatan Rakyat berhadapan krisis membabitkan isu menteri besar.

"Sudah ada bayangan, ada percaturan dalam PAS di Selangor malah sudah ada pemikiran dan perbincangan jika Pakatan Rakyat jatuh di Selangor, akan berlaku PAS campur Umno campur Tan Sri Khalid Ibrahim untuk bentuk kerajaan.

"Kalau tidak ada dua Adun PAS tampil menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah (Wan Ismail), saya fikir kerajaan campuran seumpama itu sudah jadi...ini sesuatu yang membahayakan," katanya.

Selain itu, Phahrolrazi yang juga bekas Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kedah menggesa PAS supaya kembali kepada konsep 'tahaluf siayi' atau kerjasama politik bersama PKR dan DAP bagi menyelesaikan segera kemelut penggantian Menteri Besar Selangor.

"Kembali kepada 'Dasar Bersama Pakatan Rakyat' yang dibuat di Shah Alam pada 2009. Kita akui sukar, tapi pastinya ada jalan keluar tentang perkara ini. Ini adalah kebimbangan utama PasMa terhadap masa depan PAS dalam Pakatan," katanya.

PasMa, PAS, Selangor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain