suria

Komentar: PasMa Buka Ruang Luahkan Amarah Terhadap Hadi

Forum pertama anjuran PasMa di KLSCAH pada Isnin mendapat sambutan ramai apabila ia memperkatakan topik PAS Campur Umno.
AKHIRNYA Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) tampil secara terbuka buat pertama kali berhadapan dengan masyarakat khususnya bagi menyatakan pendirian sebenar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu.

Malah sebelum ini timbul kata-kata nakal di laman sosial apabila mengumpamakan PasMa yang diterajui pemimpin PAS itu seperti nyamuk yang mengganggu 'kelambu Pakatan Rakyat'.

Bagaimanapun ramai pemerhati politik alam maya menilai kata-kata nakal itu sebagai sindiran kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini ketika mengulas mengenai dakwaan kononnya wujud sebuah parti baharu serpihan daripada PAS.

Bagi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa, PasMa dianggap mempunyai strategi pemasaran yang baik kerana keberadaannya dalam arena politik negara dalam tempoh kurang sebulan berjaya mencetuskan fenomena.

Malah katanya, sebagai pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS yang bertanggungjawab menjalinkan kerjasama dengan kumpulan NGO seperti PasMa, beliau berminat untuk mengetahui lebih mendalam mengenai matlamat dan hala tujunya.

Mungkin ramai yang masih skeptikal dengan PasMa serta tertanya-tanya apa motif dan keperluan NGO berkenaan dalam merancakkan perkembangan serta pengukuhan Pakatan Rakyat.

Ternyata kebimbangan itu dizahirkan menerusi kehadiran penuh sesak orang ramai yang rata-ratanya penyokong Pakatan Rakyat ke Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) pada Isnin malam.

Pada penilaian awal, kehadiran pelbagai lapisan kelompok masyarakat itu membuktikan 'NGO nyamuk' seperti PasMa berjaya menarik minat orang ramai walaupun penubuhannya pada 10 Ogos lalu berlaku ketika Pakatan Rakyat berhadapan kemelut politik membabitkan kerusi Menteri Besar Selangor.

Bagaimanapun cakap-cakap kononnya penubuhan PasMa yang diterajui Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Pangkalan Kundor, Datuk Phahrolrazi Zawawi itu dikatakan sebagai alternatif kepada PAS dalam Pakatan Rakyat dilihat ada asasnya.

Buktinya, menerusi forum 'salam perkenalan' PasMa, ia dilihat sebagai medan terbuka penyokong Pakatan Rakyat termasuk ahli PAS sendiri untuk menghentam dan menghukum Presiden PAS.

Tanpa berselindung, salah seorang ahli panel forum itu, bekas pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Abdul Aziz Bari menempelak beberapa tindakan dan keputusan Hadi berhubung krisis politik Selangor.

Menurut Aziz yang mengakui bercakap atas kapasiti ahli akademik dan bukannya mewakili mana-mana parti politik Pakatan Rakyat, Abdul Hadi boleh dianggap punca berlakunya krisis politik yang berpanjangan di Selangor.

Katanya kenyataan bertentangan antara Hadi dan Jawatankuasa PAS Pusat berhubung pencalonan bagi jawatan Menteri Besar Selangor adalah punca segala masalah yang berlaku.

Bukan sahaja Aziz, malah rata-rata penyokong dan pendengar forum berkenaan mengambil pendirian untuk menyalahkan Hadi kerana tidak merestui Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk diangkat sebagai menteri besar.

Malah timbul persoalan di kalangan pendengar yang ingin mengetahui sama ada PAS berani mengambil tindakan terhadap Hadi termasuk mempertimbangkan agar beliau dipecat daripada PAS.

Bagaimanapun Mujahid dilihat begitu berani berhadapan dengan soalan yang dianggap keras seperti itu terutamanya apabila ia membabitkan presidennya.

Beliau begitu tenang dan berhati-hati 'membela' Hadi apabila menyatakan bahawa ahli PAS tidak dididik untuk mensucikan pemimpin tertentu kerana memahami bahawa setiap pemimpin tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan.

Namun beliau menegaskan bahawa PAS tidak sama sekali mempunyai keinginan atau hasrat untuk menyertai Umno seperti mana tanggapan banyak pihak, khususnya apabila keputusan Hadi menolak pencalonan Dr Wan Azizah.

"PAS nak bersama dengan Umno, anda boleh mengandaikan apa yang anda ingin andaikan. Saya tidak boleh menyekat anda mengandai demikian.

"Saya mahu nyatakan bahawa PAS akan berdiri teguh untuk menentang segala usaha untuk merosakkan PAS dari dalam. Dan sejarah dalam PAS, siapa yang cuba merosakkan parti ini dengan menjadi ejen Umno...mereka akan mengakhiri karier mereka dalam PAS," katanya.

Walaupun diserang hebat, Mujahid bagaimanapun tetap tenang dan berhati-hati dalam menyatakan pendirian PAS dalam Pakatan Rakyat.

Kehadirannya pada forum berkenaan boleh dilihat sebagai tentera pertahanan Hadi dan PAS bagi menepis serangan nakal penyokong Pakatan Rakyat sendiri.

Ternyata matlamat penubuhan PasMa iaitu sebagai pilihan dan alternatif kepada rakyat Malaysia yang cenderung untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat itu berjaya.

Suka dijelaskan, maksud berjaya dari aspek sebagai saluran sampingan kepada ahli PAS sendiri untuk menzahirkan perasaan amarah terhadap pentadbiran konsevatif Hadi.

Artikel Berikut

Sikap PAS Punca PasMa Wujud

Artikel Lain