suria

Pembangkang Bangkit Isu Akta Hasutan Untuk Tutup Kemelut Di Selangor

Ramesh Rao.
PETALING JAYA:  Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) mendakwa Pakatan Rakyat sengaja membangkitkan isu pemansuhan Akta Hasutan 1948 untuk menutup kemelut Menteri Besar Selangor yang semakin meruncing.

Presidennya, Ramesh Rao mendakwa, tindakan tersebut merupakan satu drama yang dicipta oleh pemimpin Pakatan Rakyat bagi mengalih tumpuan rakyat terhadap pergolakan politik di negeri Selangor.

"Ia adalah modus operandi mereka untuk menutup fokus rakyat terhadap pergolakan politik (Selangor) di antara ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat," katanya pada sidang media di sini, Selasa.

Peneraju Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu juga menganggap isu tersebut sebenarnya dijadikan sebagai alasan oleh Pakatan Rakyat untuk mengadakan demonstrasi jalanan.

"Tujuan mereka adalah untuk mencipta satu isu dan mengajak rakyat berdemonstrasi. Tindakan ini keterlaluan dan mampu mencetuskan huru-hara di negara ini," katanya.

Pada masa sama, beliau mempertikaikan tindakan segelintir pemimpin pembangkang yang mendesak agar kerajaan memansuhkan Akta Hasutan dengan segera.

Ramesh mendakwa, desakan tersebut dilihat sebagai satu usaha untuk memberi tekanan kepada kerajaan supaya tunduk kepada setiap permintaan mereka.

"Mereka desak kerajaan supaya hapuskan akta yang memberi ancaman kepada mereka (pembangkang) supaya mereka bebas menipu dan menfitnah sesuka hati," dakwanya.

Justeru, beliau meminta kerajaan agar mengekalkan akta tersebut dan tidak terpedaya dengan desakan pembangkang.

"Akta itu perlu dikekalkan demi keharmonian negara. Ia juga mengajar setiap individu untuk mendisiplinkan diri agar tidak mengeluarkan kenyataan sesuka hati," katanya.

Jelas beliau, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap penganjur dan pemimpin pembangkang yang terlibat menyokong usaha untuk menggerakkan kempen Mansuh Akta Hasutan (MAH) di seluruh negara.

Sebelum ini, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, parti itu akan memulakan jelajah kempen MAH dengan bantuan gerakan mahasiswi dan beberapa pertubuhan lain pada bulan ini bagi mendesak kerajaan untuk memansuhkan akta tersebut.

Rafizi mendakwa pelaksanaan akta tersebut sebagai lapuk dan digunakan untuk menekan pihak yang berbeza pendapat dengan kerajaan khususnya pemimpin pembangkang.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri pada Ahad lalu berkata, kerajaan tidak akan menghapuskan akta tersebut dalam tempoh terdekat biarpun mendapat desakan daripada pelbagai pihak untuk berbuat demikian.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain