suria

MH17: Najib Gesa Semua Pihak Bekerjasama Erat Untuk Permudah Siasatan

Najib Razak
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa semua pihak supaya bekerjasama erat untuk memudahkan penyiasatan dan pengeluaran laporan akhir tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang ditembak jatuh.


"Dalam pada itu, yang paling diutamakan ialah pasukan penyiasatan harus diberi akses sepenuhnya tanpa halangan di kawasan nahas bagi mereka menemukan baki mayat, menyiapkan penyiasatan dan menentukan kebenaran yang berlaku. Disebabkan ini jugalah satu pasukan Malaysia dihantar ke Ukraine semalam.

"Ini merupakan tanggungjawab kita kepada keluarga mangsa, yang memang dalam ingatan kita hari ini," katanya dalam kenyataan mengenai laporan awal tragedi MH17 yang dikeluarkan oleh Lembaga Keselamatan Belanda, Selasa.

Laporan 34 muka surat itu menunjukkan bahawa kapal terbang itu berkecai di udara, kemungkinan akibat kerosakan struktur yang berpunca daripada sebilangan besar objek berkuasa tinggi yang menembusi pesawat itu dari luar.

Menurut laporan itu tiada sebarang petunjuk yang membayangkan pesawat MH17 yang jatuh di timur Ukraine itu, dan mengorbankan kesemua 298 orang di dalamnya, berpunca daripada kerosakan teknikal atau perbuatan anak kapal.

Najib menyambut baik laporan awal yang dikeluarkan itu yang merupakan hasil usaha siasatan bersama.

"Laporan itu mengesahkan bahawa MH17 sedang terbang dalam ruang udara bebas di bawah kawalan pengawal trafik udara tempatan dan mengikut laluan serta pada altitud yang dibenarkan oleh pengawal trafik udara.

"Pesawat itu dalam keadaan baik tanpa sebarang laporan kerosakan dan anak kapal juga bertindak dengan baik," katanya.

Beliau berkata, objek berkuasa tinggi itu menembusi pesawat berkenaan dan membuatkan ia berkecai di udara seperti yang disebut dalam laporan awal itu, yang menimbulkan syak bahawa peluru berpandu udara telah digunakan untuk menjatuhkan MH17.

"... bagaimanapun siasatan lanjut diperlukan sebelum kita benar-benar pasti," katanya.

MH17 membawa 298 penumpang dan anak kapal ketika ia terhempas di timur Ukraine ada 17 Julai semasa dalan penerbangan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam.

Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh. Antara yang terkorban ialah 43 rakyat Malaysia.


MAS, MH17, Datuk Seri Najib Tun Razak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain