suria

Kerajaan Perkenal Skim Sewa Beli Untuk Pembeli Rumah PR1MA - Najib

Najib Razak
SEREMBAN: Kerajaan memperkenalkan Skim Sewa Beli bagi membantu pemohon Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang menghadapi masalah mendapatkan pinjaman perumahan dengan bank.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, skim itu diwujudkan khusus untuk generasi muda dalam mendapatkan rumah yang mereka idamkan selama ini.

"Program ini adalah bagi membantu mereka (permohonan) yang ditolak bank, kadang-kadang yang tiada pendapatan tetap atau rekod tidak berapa elok.

"Maka kita bersetuju dengan pihak bank untuk tawar skim Rent to Own ini dengan pemohon hanya perlu membayar sewa dan dalam tempoh 20 hingga 30 tahun, rumah itu akan jadi milik mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum menyempurnakan majlis pecah tanah dan projek mula kerja PR1MA Seremban di Seremban Sentral di sini, Selasa.

Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Menteri Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek dan Pengerusi Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis.

Najib dalam pada itu berkata, kerajaan bersetuju untuk penambahan pembinaan 2,000 unit rumah PR1MA yang akan dibina di tapak Depoh Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan 10,000 unit rumah di Labu, dekat sini.

Katanya, projek penambahan pembinaan itu dan projek asal Seremban Sentral membabitkan 3,196 unit pangsapuri mampu milik di belakang Stesen Kereta Api Seremban itu adalah sangat perlu dan bertepatan dalam usaha kerajaan membangunkan Seremban.

Menurutnya, projek itu antara lain bakal merubah wajah Seremban dan menjadi ikon baharu Negeri Sembilan yang digambarkan seakan KL Sentral, Kuala Lumpur.

Jelasnya, projek di Seremban Sentral itu dijangka siap dalam tempoh antara dua hingga tiga tahun sekaligus mampu menarik minat masyarakat setempat untuk sama-sama merasai arus pembangunan dan kemajuan akan datang.

Perdana Menteri menjelaskan bahawa walaupun harga rumah PR1MA di Seremban Sentral itu belum lagi dimuktamadkan namun beliau yakin ia akan dijual 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.

"Siapa yang berjaya mendapatkan rumah ini sudah untung 20 peratus. Saya percaya nilai rumah ini akan melambung tinggi kerana kawasan ini tumpuan pembangunan selepas Lembah Klang, Putrajaya dan Cyberjaya.

"Memang inilah trend pembangunan yang menghala ke Seremban dan dalam tempoh 10 tahun, kawasan ini akan pesat dengan pembangunan," jelas Najib.

Mengulas lanjut mengenai PR1MA, Najib berkata, kerajaan sentiasa meletakkan keutamaan dan keperluan rakyat pada penanda aras utama kerana rumah adalah antara keperluan tinggi yang mesti dimiliki setiap rakyat di negara ini.

"Kita ada keperluan lain, tapi urutan keinginan untuk miliki rumah adalah di atas dan tertinggi. Tapi rumah bukan sebarangan rumah mestilah selesa dan berkualiti.

"Ia juga mestilah dalam lingkungan kemampuan kita, harganya yang mampu dibeli oleh kita sebagai bakal pembeli. Kumpulan sasaran kita (kerajaan) adalah 50 peratus orang muda iaitu berumur 35 tahun ke bawah termasuk bujang. Jadi lahirlah konsep PR1MA ini yang merupakan satu agenda kerajaan," kataya.

Seremban Sentral ialah projek perumahan pangsapuri berkonsepkan kehidupan bandar yang menyediakan pangsapuri mampu milik di kawasan seluas 23 hektar dan turut dilengkapi kemudahan awam, bangunan pejabat, pusat beli-belah, perubatan, kampus pendidikan, hotel dan taman rekreasi.

PR1MA Seremban Sentral adalah perkongsian awam dan swasta iaitu antara PR1MA, Unit Kerjasama Awam-Swasta (UKAS), Perbadanan Aset Keretapi (RAC), Keretapi Tanah Melayu (KTM), kerajaan negeri dan pemaju swasta Brunsfield International Group.

Projek perumahan itu bakal dibina di pusat bandar Seremban atas tanah berkeluasan 23 hektar terletak di belakang stesen KTM Seremban sedia ada, yang dibahagikan kepada dua fasa pembinaan.

Fasa I terdiri daripada 1,504 unit manakala Fasa II terdiri daripada 1,692 unit dengan keluasan antara 805 hingga 1,214 kaki persegi.

Rumah itu dilengkapi dua bilik dengan satu bilik mandi atau tiga bilik dengan dua bilik mandi, ruang tamu dan dapur mengikut keluasan dan pembeli boleh membuat pilihan mengikut kemampuan.


Artikel Lain