suria

Kumpulan Pertama Jemaah Haji Malaysia Bergerak Ke Mekah Dari Madinah Khamis

-foto AFP
MEKAH: Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia seramai 413 orang akan mula bergerak dari Madinah ke Mekah dengan menaiki bas petang Khamis.

Mereka yang tiba di Madinah pada 27 Ogos lepas untuk melakukan ziarah dijangka bertolak selepas sembahyang Zuhur dan dijangka tiba di Mekah kira pukul 7 malam waktu tempatan hari yang sama (12 malam waktu Malaysia) .

Kumpulan jemaah haji tersebut sebelum meninggalkan Madinah digalakkan membuat Ziarah Wada atau ziarah selamat tinggal di Masjid Nabawi, sebelum mandi sunat dan berpakain ihram bagi memasuki Mekah untuk melakukan umrah haji.

Mereka kemudian akan berhenti di Masjid Bir Ali kira-kira tujuh kilometer dari kota Madinah untuk bersembahyang sunat ihram dan memasang niat ihram.

Perjalanan dengan bas dari Madinah ke Mekah yang sejauh 447 kilometer dijangka mengambil masa antara lima hingga tujuh jam bergantung kepada keadaan jalanraya, dan akan diisi dengan bertalbiyah, iaitu kalimah kehadiran yang dilafazkan menandakan ikrar penerimaan mereka sebagai tetamu Allah.

Setibanya mereka di Mekah, mereka akan ditempatkan di Abraj Al Janadiriyyah di kawasan Shuib Amir, kira-kira 800 meter dari Masjidilharam, sebelum melakukan tawaf sebanyak tujuh pusingan di Baitullah dan diikuti dengan saie antara Bukit Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali sebelum bertahallul, iaitu keluar dari ihram, dengan mengunting sekurang-kurangnya tiga helai rambut.

Ketibaan kumpulan pertama jemaah haji di Mekah akan diikuti oleh kumpulan kedua dan seterusnya secara berperingkat.

Tabung Haji telah menyediakan sebanyak sembilan maktab untuk menempatkan 22,320 jemaah haji tahun ini, termasuk di Qasr Al Janadiriyyah yang berhampiran dengan Abraj Al Janadiriyyah.

Selain Burj Al Haram 2 dan Hassan Khazindar di kawasan Al-Sud dan Bir Balilah serta lima bangunan di kawasan Misfalah dan Hafa'er iaitu Al Bisyarah Mawaddah, Rehab Al Janadiriyyah, Land Premium, Manar Al Shorouq dan Raudhat Al Shorouq.

Setakat ini sebanyak 18 kapal terbang membawa jemaah haji telah tiba di Madinah dengan yang terakhir tiba Selasa iaitu penerbangan KT18 dengan seramai 267 jemaah haji.

Sehingga kini seramai 6,250 jemaah haji telah berada di Madinah.
Mekah, Madinah, Masjid Bir Ali

Artikel Sebelum

Ops Daulat: 131 Terima PKN

Artikel Berikut

Artikel Lain