suria

Kerajaan Tunggu Pengesahan Rasmi Netherlands, Pengecaman Mayat Rakyat Malaysia

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Malaysia masih menunggu pengesahan rasmi daripada kerajaan Netherlands berhubung pengecaman dua mayat rakyat Malaysia yang terkorban dalam nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 di Donetsk, timur Ukraine.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamumddin Tun Hussein berkata Malaysia tidak mahu menggesa Netherlands dalam perkara itu bagi menghormati pihak yang melakukan proses pengecaman mangsa nahas itu.
 
"Kita ada persefahaman dengan penyiasat...kita ada cara untuk proses dan mengenal pasti semua (mayat) itu dan kita tidak hebahkan dahulu.
 
"Talian dan hubungan maklumat yang diterima (mengenai MH17) mesti disalurkan melalui sekretariat di bawah Kementerian Pengangkutan," katanya yang juga Naib Presiden Umno kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Aidifitri Umno Bahagian Dungun di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Umno Bahagian Dungun Datuk Din Adam.

Laporan media memetik kerajaan Netherlands sebagai berkata bahawa selain dua rakyat Malaysia, 21 mayat lain yang dikenal pasti ialah 16 warga Netherlands, seorang masing-masing dari Britain, Jerman dan Kanada.

Ditanya bila proses pengecaman kesemua mayat warganegara Malaysia selesai, Hishammuddin berkata ia bergantung kepada proses siasatan di lokasi kejadian dan pengecaman mayat di Amsterdam.

Beliau turut meminta media negara ini supaya berhati-hati mengeluarkan berita mengenai MH17 demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

Misi mencari mayat di kawasan nahas MH17 di Donetsk ditangguhkan berikutan pertempuran antara tentera Ukraine dan puak pemisah.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dipercayai ditembak jatuh ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai lepas.

MH17, MAS

Artikel Lain