suria

Tiada Aduan SPRM Guna Kekerasan Tahun Lalu - Abu Kassim

Abu Kassim Mohamed.
KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, tiada aduan diterima terhadap suruhanjaya itu pada tahun lalu berhubung penggunaan ugutan dan kekerasan untuk mendapatkan maklumat daripada individu dalam siasatan mereka.

Katanya, dalam kes terdahulu, terdapat kira-kira 26 aduan mengenainya tetapi jumlah itu berkurangan selepas SPRM mengubah bilik temu bual dan meletakkan kamera litar tertutup (CCTV) dan menggunakan teknik soal siasat susulan kematian Teoh Beng Hock pada 2009 dan pegawai kastam, Ahmad Sarbani Mohamed pada 2011.

"Kini, kami mesti mendokumenkan proses tersebut dan memastikan setiap pelawat terutamanya mereka yang dibawah siasatan dipantau ketat menggunakan CCTV supaya kebenaran dapat didedahkan sekiranya sebarang insiden berlaku," katanya dalam temu bual bersama Sunday Star.

Pada 16 Julai 2009, Beng Hock ditemui mati di tingkat 5 Plaza Masalam selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 14, lokasi beliau disoal siasat oleh SPRM.

Pada 6 April 2011, Ahmad Sarbani pula ditemui mati di sebuah gelanggang badminton di pejabat SPRM di Jalan Cochrane.

Beliau datang ke pejabat SPRM untuk disoal siasat dan menunggu di dalam pejabat di tingkat tiga untuk bertemu seorang pengawai penyiasat.

Beliau ditemui mati dipercayai terjatuh sebelum bertemu dengan pegawai terbabit.

Kedua-dua keluarga mangsa mendakwa kematian mereka disebabkan oleh SPRM.

Abu Kassim berkata, sebelum kewujudan bilik yang dilengkapi CCTV dan kaedah baharu digunakan, terdapat individu yang datang ke pejabat SPRM dan mengakui kesalahan mereka tetapi kemudiannya mengubah fikiran selepas bercakap dengan peguam atau orang lain.

Katanya, mereka akan membuat laporan polis terhadap SPRM dengan mendakwa pengakuan mereka diperolehi melalui paksaan atau mereka diugut untuk memberikan kenyataan tersebut.

"Tapi kini dengan bilik siasatan yang diubahsuai, kesemua individu yang dibawah siasatan perlu melalui proses tersebut dimana kenyataan dan setiap pergerakan mereka di dalam bilik itu dirakam di dalam video. Ini amat penting untuk pelbagai sebab," katanya.

Abu Kassim berkata, kaedah siasatan baharu itu menampakkan hasil yang lebih efektif.

Katanya, SPRM turut membawa beberapa pakar dari luar negara untuk melatih semula pegawai SPRM dalam melaksanakan kaedah baharu dalam siasatan itu.

"Mereka yang menggunakannya mendakwa ia amat efektif bagi mendapatkan mereka yang disoal siasat bercakap benar. Jumlah mereka yang membuat pengakuan dan kadar sabitan kesalahan turut meningkat," katanya.


SPRM, Abu Kassim Mohamed

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain