suria

Bluefin-21 Digunakan Cari Pesawat MH370 - JACC

Angus ketika sidang media terkini bagi Misi Mencari dan Menyelamat pesawat MH370 di Dumas House, Perth pada Isnin. -fotoBERNAMA
PERTH: Kenderaan dalam air automatik (AUV) Bluefin-21 akan digunakan lewat  Isnin bagi meneruskan usaha mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang.

Ketua penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Ketua Marsyal Udara (Bersara) Angus Houston berkata keputusan menggunakan kenderaan khas itu diambil berikutan tiada lagi isyarat dikesan alat pengesan pinger sejak Selasa lepas.

"Walaupun tiada lagi isyarat dikesan (seterusnya), apa yang ada sebelum ini adalah petunjuk paling meyakinkan yang kami ada. Kami perlu terus menjejaki petunjuk itu dengan sedapat mungkin," katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan operasi mencari pesawat berkenaan di sini, Isnin.

"Analisis yang dibuat terhadap empat isyarat sebelum ini memungkinkan satu definisi dibuat tentang kawasan mencari di dasar laut yang lebih kecil dan mudah diuruskan," katanya merujuk kepada data akaustik yang dikesan kapal Australia Ocean Shield minggu lepas.

Houston berkata sehubungan itu, para pakar memutuskan bahawa Ocean Shield akan berhenti daripada membuat pencarian menggunakan alat pengesan pinger yang ditunda (TPL) lewat Isnin.

Houston, yang menyelaraskan pasukan mencari dari pelbagai negara di selatan Lautan Hindi itu, berkata TPL dan AUV tidak boleh beroperasi secara serentak. Oleh itu, keputusan peranti mana yang akan digunakan, perlu dibuat.

Menurut beliau AUV, yang mampu turun hingga sedalam 4,500m , akan digunakan dalam misi pertamanya bagi meliputi kawasan kira-kira 40km persegi di tempat isyarat berkenaan telah dikesan.

Sambil menjelaskan bahawa setiap misi Bluefin-21 akan memakan masa sekurang-kurangnya 24 jam, beliau berkata: "Selepas mengambil masa selama dua jam untuk sampai ke dasar laut, peranti itu akan bekerja selama 16 jam, dua jam untuk kembali ke permukaan air dan empat jam untuk memuat turun serta menganalisis data yang dikumpul."

Katanya penggunaan AUV berpotensi membawa usaha mencari selangkah lagi ke hadapan dalam usaha mengenal pasti visual.

"Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, serpihan pesawat perlu dikenal pasti secara visual terlebih dahulu, sebelum kami dapat menyatakan dengan pasti bahawa inilah tempat MH370 bersemadi," katanya.

Houston, bagaimanapun mengingatkan bahawa penggunaan AUV tidak memberi jaminan bangkai pesawat MH370 akan ditemui di dasar laut.

Mengenai sama ada aset lain akan digunakan dalam usaha mencari dalam air, beliau berkata Bluefin-21 adalah satu-stunya aset yang ada ketika ini kerana ia lebih daripada memadai untuk menjalankan tugas itu.

Menurut beliau, Bluefin-21 mempunyai keupayaan untuk digunakan hanya setakat kedalaman 4,500m dan bagi kedalaman melebihi had itu, aset yang berkeupayaan lebih tinggi perlu digunakan.

Mengenai kawasan pencarian pula, Houston berkata misi seterusnya akan ditentukan oleh analisis yang dibuat terhadap data yang dikumpul misi sulung Bluefin-21 pada Isnin di kawasan mencari yang ditentukan berdasarkan analisis yang dibuat para pakar dunia.

Ditanya sama ada penggunaan Bluefin-21 bererti bateri kotak hitam pesawat berkenaan kini sudah habis kuasanya, beliau berkata langkah itu perlu diambil kerana tiada isyarat lain yang mungkin dapat dikesan daripada alat perakam data Penerbangan MH370, yang sebelum ini telah dikesan dalam tempoh enam hari lepas.

Artikel Lain