suria

Perlekeh Program Selawat: Hati Mereka Berpenyakit - Jamil Khir

Orang ramai berselawat beramai-ramai pada Majlis Selawat Perdana 'Malam Cinta Allah dan Rasul' yang bertemakan Kesatuan, Perpaduan dan Persaudaraan di Dataran Masjid Putra, Presint 1, Putrajaya, baru-baru ini. -fotoBERNAMA
MUAR: Mereka yang memperlekeh program Selawat Perdana Malam Cinta Allah dan Rasul mempunyai hati yang berpenyakit, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata bila pembangkang memperlekeh program, yang berjaya menghimpunkan 500,000 umat Islam di Putrajaya pada Jumaat lepas, bermakna mereka kecewa dengan sambutan ratusan ribu yang menyertainya.

Pada malam itu kebanyakan yang hadir berpakaian serba putih, membanjiri Dataran Masjid Putra Presint 1 dan sepanjang jalan Kompleks Pusat Pentadbiran Putrajaya sehinggakan diumpamakan sebagai himpunan di Padang Arafah pada musim Haji dengan penuh ketertiban.

"Sebagai umat Islam, sepatutnya mereka bersyukur kerana program itu berjaya menghimpun sebegitu ramai umat tanpa mengira fahaman politik, bersama-sama menunjukkan rasa cinta kepada Rasul dan taqwa kepada Allah," kata Jamil Khir ketika memberi ceramah sambutan Maulidur Rasul di Masjid Nurul Iman, Parit Bakar Laut, di sini malam Sabtu.

Jamil Khir yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno, berkata pihak pembangkang mahu melihat program yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa orang menteri Kabinet beragama Islam itu, hanya dihadiri oleh beberapa ratus orang sahaja.

Pihak pembangkang melihat dari sudut yang buruk sahaja sedangkan program itu adalah untuk membina persepsi baik terhadap Islam yang kini dicemari dengan pelbagai imej negatif, katanya.

Dalam ceramahnya, Jamil Khir turut mendedahkan bagaimana seorang pemimpin badan bukan kerajaan (NGO)mempersoal kononnya pemimpin kerajaan tidak mengadakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan penumpang pesawat MH370 yang hilang lebih dua minggu, sejak 8 Mac lepas.

"Oleh kerana didesak melalui khidmat pesanan ringkas tiga kali sehari daripada pemimpin NGO berkenaan, saya terpaksa menghubunginya dan menyatakan bahawa perdana menteri dan semua menteri-menteri kabinet serta timbalan menteri adalah kumpulan pertama mengadakan solat hajat selepas Zuhur sebaik sahaja menerima berita kehilangan pesawat pada hari Sabtu 8 Mac lalu," kata beliau.

Jamil Khir berkata beliau tidak gemar menggembar-gemburkan kerja ibadah kepada umum tetapi apabila ditekan bertalu-talu, beliau tidak ada pilihan lain selain terpaksa menghebahkannya.

"(Malah) kita bukan fikirkan orang Islam semata-mata tetapi semua penumpang dari pelbagai negara dalam pesawat itu," kata beliau sambil meminta semua umat Islam terus berdoa dengan mengerjakan solat hajat.

Artikel Lain