suria

PRK Kajang: SPR Gesa Henti Provokasi 'Kangkung'

Salah seorang penyokong yang membawa kangkung diminta meninggalkan pusat undi di SK Sg Sekamat Kajang. -foto THE STAR
KAJANG:  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi amaran kepada penyokong parti politik supaya tidak mencetuskan provokasi hingga mengganggu proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang yang berlangsung hari ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, selepas proses berkempen tamat pukul 12 tengah malam Sabtu, semua aktiviti kempen dan merayu undi adalah tidak dibenarkan.

"Sepatutnya tempoh kempen sudah habis...masa 12 hari sudah cukup untuk berkempen.

"Tapi tak mengapalah kalau tujuan mereka hadir untuk memberi sokongan. Saya cuma harap penyokong tidak terlalu beremosi dan jangan buat provikasi kepada pihak yang lain," katanya ketika ditemui di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Sri Sekamat di sini, Ahad.

Tegas Abdul Aziz, tindakan provokasi termasuk membawa barangan tertentu hanya akan memburukkan keadaan dan mencetuskan kemarahan pihak lawan.

"Kalau sebelah sini buat provikasi, pihak yang sana akan balas.

"Saya tengok ada yang bawa kangkung. Sayur kangkung patut bawa ke tempat berniaga. Rugi kangkung itu dibazirkan," katanya.

Justeru Abdul Aziz berharap pemimpin parti politik menasihatkan penyokong masing-masing supaya menghentikan provokasi.

Isu kangkung mula menjadi hangat apabila penyokong pembangkang cuba memutar-belitkan dan menggunakan kenyataan Perdana Menteri,Datuk Seri Najib ketika majlis penyampaian bantuan kepada mangsa banjir di Kemaman Januari lalu.
kangkung, provokasi, PRK Kajang

Artikel Lain