suria

Wan Hashim Sedia Masuki Singapura

Wan Hashim
Wan Hashim

KOTA BAHARU: Pengayuh basikal solo Wan Hashim Wan Mahmood yang sedang berbasikal mengelilingi Semenanjung tiba di Johor Baharu pada Isnin.

"Saya rasa nak menitis air mata apabila sampai di Johor Baharu. Perjalanan memang sukar kerana perlu menempuh cuaca panas serta jalan berbukit," katanya.

Wan Hashim, 68, memulakan misinya di sini pada 26 Jan lalu dan sudah berkayuh sejauh 705 kilometer.

Bapa kepada enam orang anak ini telah melalui negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Beliau berkata sebelum tiba di Johor Baharu, seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia Johor Baharu, Sahid Selamat, 40, turut mengiringi kayuhannya sejauh 40 kilometer dari Kota Tinggi.

"Saya berbesar hati kerana Sahid turut menyedia tempat tinggal serta makanan semasa saya di Kota Tinggi," katanya.

Wan Hashim berkata beliau akan memasuki Singapura hari ini sebelum meneruskan perjalanan ke Melaka esok.

"Hari ini saya akan memasuki Singapura kerana ingin bertemu anak saya yang berada di Arab Street," katanya.

Beliau seterusnya akan memasuki Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Putrajaya, Perak, Pulau Pinang, Kedah sebelum misinya berakhir di Padang Besar, Perlis.

Beliau turut dijangka memasuki Thailand dan meneruskan perjalanan ke Sungai Golok sebelum pulang ke Kota Baharu melalui sempadan di Rantau Panjang.

Misi kayuhannya dengan jarak keseluruhan kira-kira 2,000 km yang dijangka mengambil masa sebulan bertujuan memberi mesej berkaitan kesihatan dan riadah kepada orang ramai. BERNAMA

Artikel Lain