Ibu Dan Teman Lelaki Ditahan Kes Bunuh Kanak-Kanak Di Dungun - Semasa | mStar

Ibu Dan Teman Lelaki Ditahan Kes Bunuh Kanak-Kanak Di Dungun

Ibu mangsa bunuh (kiri) yang ditahan reman bagi membantu siasatan dibawa ke rumah mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk membuat pengecaman mayat anaknya, Nursyafiqah Adawiyyah Abdullah yang sebelum ini dilaporkan hilang pada 17 Januari lalu ditemui mati dibunuh dalam sebuah rumah kosong di perumahan Taman Permint, Sri Paka, Dungun pada Selasa, di Kuala Terengganu, Rabu. -fotoBERNAMA
Ibu mangsa bunuh (kiri) yang ditahan reman bagi membantu siasatan dibawa ke rumah mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk membuat pengecaman mayat anaknya, Nursyafiqah Adawiyyah Abdullah yang sebelum ini dilaporkan hilang pada 17 Januari lalu ditemui mati dibunuh dalam sebuah rumah kosong di perumahan Taman Permint, Sri Paka, Dungun pada Selasa, di Kuala Terengganu, Rabu. -fotoBERNAMA

KUALA TERENGGANU: Teman lelaki dan ibu kanak-kanak perempuan dua tahun yang ditemui mati dibunuh di sebuah rumah kosong di Dungun pada Selasa antara empat suspek ditahan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan berkata teman lelaki ibu kanak-kanak itu yang merupakan suspek utama ditahan kira-kira 1.30 tengah hari Rabu di Kuala Paka, Dungun.

Katanya susulan itu, dua rakan suspek utama masing-masing berusia 25 tahun serta ibu kanak-kanak itu yang berusia 28 tahun diberkas antara 10.30 malam tadi hingga 1.30 pagi ini di sekitar Paka.

"Sebelum itu (semalam) kita telah menahan teman lelaki ibunya untuk membantu siasatan berhubung laporan kehilangan kanak-kanak yang dibuat ibunya pada Sabtu lalu (18 Januari).

"Selepas penahanan suspek utama itu barulah mayat kanak-kanak perempuan itu ditemui pada hari yang sama dan sejurus itu, kita menahan dua lagi rakannya serta ibu mangsa bagi membantu siasatan," katanya dalam sidang media di sini Rabu.

Mayat kanak-kanak perempuan itu dalam keadaan separuh bogel ditemui seorang pengawal keselamatan yang melakukan rondaan di kawasan perumahan baharu itu kira-kira 3.30 petang semalam.

Bapa kandung kanak-kanak malang itu masih ditahan di penjara berhubung kesalahan dadah.

Manoharan berkata ketika ditahan suspek utama berumur 25 tahun itu dalam keadaan khayal di bawah pengaruh dadah.

Katanya hasil siasatan mendapati laporan dibuat ibu mangsa berhubung kehilangan anaknya itu pada Jumaat adalah palsu kerana dipercayai telah dipaksa oleh teman lelakinya untuk membuat laporan itu.

Dalam laporan itu, ibu kanak-kanak itu memaklumkan anaknya itu hilang selepas ditinggalkan bersendirian dalam sebuah kenderaan semasa dia dan teman lelakinya berjumpa rakan di Dungun.

Manoharan berkata siasatan juga mendapati suspek utama adalah individu terakhir bersama-sama mangsa selepas ibunya membenarkan kanak-kanak tersebut keluar dengan teman lelakinya kira-kira pukul 11 pagi, Jumaat lalu.

Namun kira-kira pukul 11 malam hari yang sama, suspek memaklumkan kanak-kanak itu telah hilang dan memaksa ibunya membuat laporan polis, katanya.

"Kesemua yang ditahan ini merupakan penagih dan pengedar dadah. Justeru kita masih menyiasat sama ada ibunya terlibat dalam kes kematian ini atau sebaliknya," katanya.

Manoharan berkata polis juga telah merampas kenderaan yang digunakan suspek untuk membawa keluar mangsa sebelum ditemui mati dibunuh.

Polis percaya dapat menyelesaikan kes ini dengan tertangkapnya keempat-empat suspek dan mengetahui motif sebenar kanak-kanak itu dibunuh, katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

Populasi penduduk kunci utama PSKL2040

DBKL menekankan aspek populasi penduduk sebagai kriteria utama dalam merangka pelan pembangunan di ibu kota.

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Artikel Lain