suria

Bot Karam: Mayat Tiga Mangsa Wanita Dibawa Pulang Ke Kampung Halaman

DARO (Sarawak): Mayat tiga wanita yang lemas dalam tragedi bot panjang di Batang Lassa dekat Kampung Kut di Daro semalam, diterbangkan dengan helikopter Nuri untuk dikebumikan di kampung mereka, Kampung Tekajong.

Helikopter itu berlepas kira-kira 1.45 tengah hari Ahad.

Sementara itu polis Daro mengeluarkan senarai nama lapan mangsa yang masih hilang. Mereka ialah Borhan Bordan, Riji Dalol, Mahdani Akim, Abu Bakar Mahli, Kalsum bt Mat, Ebong Rais, Nur bt Abdullah dan Naibi Saibi.

Kemalangan itu berlaku apabila bot panjang yang membawa 27 orang dari Kampung Tekajong yang pulang daripada menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Saai terbalik akibat dipukul ombak besar.

Enam belas lagi penumpang berusia lingkungan 23 hingga 69 tahun berjaya menyelamatkan diri, tiga wanita lemas, manakala lapan lagi masih hilang.

Pasukan mencari dan menyelamat meneruskan operasi di Batang Lassa, anak sungai Sungai Rajang, lokasi kemalangan itu berlaku kira-kira 1 tengah hari semalam.

Kira-kira 100 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Mukah, Sungai Merah (Sibu) dan Sibu, Rela, polis, Jabatan Pertahanan Awam, Lembaga Sungai Sarawak dan penduduk setempat terbabit dalam operasi itu.

Hujan sekali-sekala sejak 1 tengah hari tidak memudarkan semangat mereka ketika memulakan operasi pada 7 pagi ini.

Antara yang turut membantu operasi itu ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Semok, Abdullah Saidol dan Adun Daro, Murni Suhaili. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain