Remaja Ditahan Bantu Siasat Kes Bunuh Tukang Masak - Semasa | mStar

Remaja Ditahan Bantu Siasat Kes Bunuh Tukang Masak

MELAKA: Dua lelaki termasuk seorang remaja ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang tukang masak yang dipercayai dibunuh di rumah sewanya di Taman Kota Laksamana di sini Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Salehhudin Abd Rahman berkata, lelaki berusia 23 tahun itu ditahan di tepi sebuah restoran di Bukit Cina pada 10 malam Rabu manakala remaja berusia 15 tahun itu ditahan berhampiran kawasan rumah kedai di Klebang sejam kemudian.

"Kedua-dua lelaki ini dipercayai rakan mangsa dan mereka ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kematian mangsa," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, Khamis.

Dalam kejadian itu, mayat Mohd Yaser Mokhtar, 31, ditemui dengan kaki dan tangannya terikat di bilik air oleh adiknya Siti Hanis, 27, kira-kira 7.30 malam.

Barangan berharga milik mangsa seperti telefon bimbit, dompet dan kereta juga didapati hilang dipercayai dilarikan suspek.

Bagaimanapun polis menemui kereta mangsa yang hangus terbakar di tepi jalan besar menghala ke Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) Melaka di Durian Tunggal sehari selepas kejadian. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Rakyat Perlu Pentingkan Kebersamaan - PM

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Coklat tumpah, panggil bomba!