suria

JPN Diarah Keluarkan Taraf Kewarganegaraan Malaysia Kepada Dua Beradik

PUTRAJAYA: Selepas 38 tahun menunggu, seorang bapa berusia 83 tahun mampu tersenyum kerana dapat melihat dua anaknya menerima taraf kewarganegaraan Malaysia selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan mereka, Jumaat.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin mengeluarkan perintah mandamus bagi memaksa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberi sijil kelahiran, taraf kewarganegaraan dan kad pengenalan Mykad kepada R.Thirupathi, 38, dan R.Meena, 36.

Dalam penghakimannya, beliau berkata JPN mempunyai kewajipan mengeluarkan ketiga-tiga dokumen kepada Thirupathi dan Meena kerana mereka sudah mengambil semua langkah yang wajar untuk memohon taraf kewarganegaraan.

Alizatul berkata Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila hanya membatalkan perintah Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang tidak meluluskan permohonan mereka namun tidak mengeluarkan perintah mandamus bagi memaksa JP Nmemberi dokumen berkaitan kepada kedua-dua beradik.

"Ini merupakan satu kes yang wajar diberi perintah mandamus," katanya ketika membenarkan rayuan M.Ramanoojum dan dua anaknya.

Panel itu, yang turut dianggotai Datuk Hamid Sultan Abu Backer dan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, memerintahkan responden membayar RM10,000 sebagai kos kepada Ramanoojum dan anak-anaknya.

Ramanoojum, seorang warganegara Malaysia, berkahwin dengan N.Pushpam, seorang warganegara India, di negara berkenaan pada 13 September 1960.

Anak pasangan itu, Thirupathi dan Meena, lahir di India dan menetap di negara berkenaan. Pushpam kemudian memperoleh taraf kewarganegaraan Malaysia pada 1972 dan meninggal dunia pada 28 Mac 2005.

Di luar mahkamah, Ramanoojum yang menetap di Melaka Street, Pulau Pinang berkata beliau ingin melihat kedua-dua anaknya di Malaysia sebelum menutup mata.

Ramanoojum memfailkan semakan kehakiman pada 1 November 2011 memohon kedua-dua anaknya diberi taraf kewarganegaraan kerana mahu mereka menjaganya selepas beliau bersara daripada pasukan polis.

Beliau menamakan Ketua Setiausaha KDN, Ketua Pengarah JPN dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

KDN menolak permohonan itu atas alasan Thirupathi dan Meena adalah warganegara India serta tidak tinggal di Malaysia.

Pada 5 September tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan perintah KDN dan menolak permohonan Ramanoojum bagi mendapatkan perintah mandamus untuk memaksa JPN mendaftarkan anak-anaknya.

Terdahulu, peguam M.Manoharan berhujah kerajaan tidak boleh menafikan pemberian taraf kewarganegaraan Malaysia kepada Thirupathi dan Meena kerana mereka sudah memenuhi syarat di bawah Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan bahawa jika bapa adalah seorang warganegara Malaysia, anak-anaknya yang dilahirkan di luar Malaysia juga dianggap sebagai warganegara.

Di luar mahkamah, Manoharan berkata meskipun Thirupathi dan Meena adalah warganegara India, mereka ingin ke Malaysia untuk bersama-sama bapa mereka. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

5,607 Mangsa Banjir di Pahang

Artikel Lain