suria

Polis Selangor Tahan 12 Anggota Sindiket Curi Susu Formula

SHAH ALAM: Polis Selangor berjaya menahan 12 anggota sindiket curi susu formula dan barangan kegunaan harian di empat negeri pada Rabu dan Jumaat lepas, yang dikatakan telah mengaut keuntungan lebih RM100,000.

Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata intipan dilakukan hasil laporan cubaan curi oleh orang awam di sebuah pasar raya di sini dan sindiket yang bergerak aktif sejak Mac lepas itu berjaya dijejaki.

Katanya polis mendapati mereka menyasarkan kedai 24 jam di Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur untuk melakukan jenayah itu.

"Majoriti suspek adalah wanita. Modus operandi yang digunakan dengan menyorokkan barangan curi di dalam jubah atau baju kurung yang dipakai iaitu di celah kelangkang atau di dalam beg tangan yang dibawa.

"Kemudian, suspek akan menjualnya di kedai-kedai yang didapati bersubahat dengan sindiket berkenaan pada harga yang jauh lebih murah, iaitu berbeza kira-kira 20 peratus daripada harga sebenar," katanya dalam sidang media di sini, Isnin.

Mohd Shukri berkata serbuan pertama di sebuah kedai ubat di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur pada Rabu lepas, polis berjaya menahan 10 suspek termasuk seorang pemilik kedai dan empat pekerjanya ketika mereka sedang menjalankan urusan jual beli barangan curi itu.

Hasil siasatan lanjut ke atas 10 suspek itu, dua lagi suspek diberkas apabila polis menyerbu sebuah pangsapuri di Taman Sri Sentosa, Kuala Lumpur pada Jumaat lepas, katanya.

Hasil penahanan kesemua suspek terbabit, polis merampas pelbagai jenis susu formula berjenama antaranya Enfalac, Frisolac, Similac, Dumex, Anmum dan Gain Plus selain syampu pelbagai jenama dan minuman keras yang dipercayai dicuri dari kedai berlainan.

Katanya tiga kenderaan sewa yang digunakan untuk melakukan jenayah itu turut dirampas dan semakan rekod mendapati enam daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan penggunaan dadah, menyimpan barang curi dan pecah masuk bangunan.

"Sembilan suspek terdiri daripada empat wanita dan lima lelaki adalah warga tempatan dan tiga wanita lagi warga Indonesia. "Kesemua mereka berumur lingkungan 24 hingga 55 tahun itu ditahan reman sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain