suria

Sistem Penapis Air Bergerak Dihantar Ke Kawasan Banjir

KUALA LUMPUR: Askar Wataniah (AW) pada Jumaat menggerakkan dua unit Sistem Penapis Air Bergerak (Jernih) ke Pahang dan Terengganu bagi menyediakan bekalan air bersih kepada mangsa banjir.

Brigadier Jeneral (Kehormat) Rejimen Pakar Pengendalian Air Ke-60, Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) AW Tan Sri Rozali Ismail berkata, sistem itu pertama kali digunakan di Malaysia selepas keberkesanannya teruji ketika membantu mangsa Taufan Haiyan di Filipina.

"Bantuan yang bakal disalurkan ini bagi memastikan mangsa banjir mendapat bekalan air bersih untuk kegunaan harian, terutama untuk minum dan memasak semasa di pusat pemindahan.

"Jika perlu, kami akan gerakkan tiga lagi unit sistem itu Ahad ini dan kami akan letakkan di kawasan yang jalannya terputus serta tiada bekalan elektrik," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelepasan misi kemanusiaan itu.

Kumpulan itu terdiri daripada Pasukan Rejimen 60, Rejimen Pakar Pengendalian Bekalan Ke-70 RAJD AW, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kakitangan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Dalam misi itu, ATM menggunakan 10 lori tiga tan, Syabas (12 lori tiga tan, enam lori tangki air dan sebuah van mini), Tenaga Nasional Bhd (tiga lori) serta dua unit kenderaan awam.

Rozali, yang juga Pengerusi Eksekutif Syabas dan Puncak Niaga Holdings Bhd, memberitahu bahawa selain dua unit Jernih itu, kenderaan terbabit digunakan untuk mengangkut 8,800 botol air mineral lima liter dan 9,600 botol air mineral 500ml untuk diagih-agihkan kepada mangsa banjir.

"Ini kali pertama kami buat misi bersama antara Rejimen 60 dan 70. Kami buat penilaian di negeri-negeri terlibat dan kami dapati banjir kali ni memang teruk. Ada yang terputus elektrik, kalau terputus... sistem telekomunikasi pun tak ada, loji tak boleh beroperasi.

"Sebab itu kami hantar lebih pegawai. Kalau perlu anggota lebih, kami akan hantar dari Pulau Pinang, Melaka dan Kedah kerana kami ada lebih 2,000 anggota yang sentiasa bersiap sedia," katanya.

Beliau berkata, misi kemanusiaan ini merupakan sebahagian daripada komitmen dan tanggungjawab yang perlu pihak RAJD lakukan sebagai tanda keprihatinan dalam usaha membantu meringankan beban mangsa banjir. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain