Mangsa Banjir Meningkat, Pusat Pemindahan Dibuka Di Dua Lagi Daerah Di Johor - Semasa | mStar

Mangsa Banjir Meningkat, Pusat Pemindahan Dibuka Di Dua Lagi Daerah Di Johor

Seorang anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Negeri Johor membantu mangsa banjir untuk bergerak dari rumah mereka yang dimasuki air di Kampung Pogoh 2 Segamat pada Rabu. - FotoBERNAMA
Seorang anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Negeri Johor membantu mangsa banjir untuk bergerak dari rumah mereka yang dimasuki air di Kampung Pogoh 2 Segamat pada Rabu. - FotoBERNAMA

JOHOR BARU: Jumlah mangsa banjir di Johor terus meningkat malam Rabu dengan 8,705 mangsa dipindahkan ke 63 pusat pemindahan berbanding 8,250 orang di sebelah petang.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor berkata Pontian dan Ledang menjadi daerah terbaharu yang membuka pusat pemindahan banjir.

Dua pusat pemindahan dibuka di Pontian lewat petang Rabu bagi menempatkan 303 mangsa manakala tujuh orang ditempatkan di sebuah pusat pemindahan di Ledang.

Jumlah mangsa di Mersing turut mencatatkan peningkatan daripada 5,694 kepada 5,711 orang; di Kluang meningkat daripada 975 kepada 1,005 orang; di Kota Tinggi meningkat daripada 212 kepada 223 orang; dan di Batu Pahat meningkat daripada 71 kepada 175.

Bagaimanapun, di Segamat, jumlah mangsa menurun daripada 1,081 kepada 1,064 orang manakala di Muar kekal 217 orang.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Mohd Nor Rasid berkata anggota polis melakukan rondaan di kawasan rumah yang ditinggalkan mangsa banjir sebagai langkah pencegahan jenayah.

Beliau turut mengingatkan penghuni rumah yang perlu dipindahkan supaya mengunci rumah masing-masing dan membawa bersama barangan berharga.

Dalam pada itu, katanya, beberapa jalan utama ditutup kepada semua kenderaan berikutan paras air meningkat melebihi 0.7 meter iaitu di Kilometer 40 Jalan Perepat-Sedili sepanjang 100 meter dan Kilometer 78 Jalan Johor Baharu-Mersing berhampiran Felcra Sungai Ara sepanjang 30 meter.

Turut dinaiki air sedalam 3.1 meter ialah di Kilometer 59 Jalan Johor Baharu-Mersing berhampiran Dusun Panti sepanjang 20 meter dan Kilometer 73 Jalan Johor Baharu-Mersing sepanjang 30 meter.

Di Segamat, Pengarah Pertahanan Awam Negeri Johor Kolonel Ghazali Abd memberitahu pemberita pihaknya cuba memberikan bantuan sebaik-baiknya kepada mangsa yang dipindahkan termasuk mereka yang menghadapi masalah kesihatan menerusi khidmat petugas dari Hospital Segamat.

Seorang mangsa banjir Abdul Wahid Md Akin, 70, yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara Kampung Pogoh 2, yang tidak boleh bernafas dengan baik akibat masalah paru-paru, dipantau sepanjang masa oleh petugas berkenaan.

"Dengan keadaan yang uzur saya tidak boleh berbuat apa-apa hanya berbaring menunggu air surut dan dapat pulang ke rumah dengan selamat," kata Abdul Wahid.

Pihak pasaraya Econsave turut tampil memberi sumbangan kelengkapan asas seperti air minuman bersih, makanan, dan lampin pakai buang bayi untuk mangsa banjir di pusat pemindahan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Mangsa Banjir Di Kelantan Meningkat Mendadak

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

Ketuhar Panasonic Big Cubie memang power! Memasak kini lebih mudah, hidangan lebih sihat dan lazat

ANDA mahu memasak hidangan dalam waktu singkat? Panasonic Big Cubie boleh membantu.

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

Artikel Lain

Gadis nyaris dirogol lelaki bogel

Ronaldo, Georgina berkahwin secara senyap?