suria

Pegawai Imigresen Dipenjara Lima Tahun, Denda RM20,000 Terima Suapan

SHAH ALAM: Seorang pegawai Jabatan Imigresen pada Isnin dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini setelah mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan menerima wang suapan dan wang hadiah RM5,000 antara Julai dan Oktober tahun ini.

Hakim M. Bakri Abd Majid mengarahkan hukuman ke atas Nik Azan Nik Man, 31, berjalan secara berturut-turut dari tarikh tangkapannya pada 20 November lepas.

Nik Azan didakwa menerima suapan wang tunai RM400 daripada Abdullah Busahlan di dalam tandas di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang pada pukul 2.30 petang 28 Ogos lepas.

Sogokan itu adalah sebagai upah supaya tidak mengambil tindakan terhadap individu dikenali sebagai 'Hendrawan' yang tidak mempunyai cop masuk yang sah di dalam pasportnya yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1956/63.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM) yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM kerana menerima suapan RM400 daripada Abdullah di tempat, tarikh dan waktu yang sama supaya tidak mengambil tindakan ke atas 'Amrizal' yang memiliki pasport yang tidak mempunyai cop masuk sah.

Bagi setiap kesalahan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM, M. Bakri menjatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM10,000 atau penjara enam bulan.

Nik Azan juga didakwa menerima wang tunai berjumlah RM1,850 daripada Abdullah melalui akaun CIMB miliknya pada 31 Julai 2013 pukul 9.04 malam di Petronas JML Damai, Persiaran Anggerik Mokara, Taman Kota Kemuning, Shah Alam.

Dia juga menerima hadiah wang tunai RM2,350 daripada Abdullah melalui akaun CIMB miliknya pada pukul 11.19 pagi, 31 Oktober lepas di Petronas Malaysia Airport Niaga KLIA 3, Jalan Pekeliling Kargo di Sepang.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali dan mahkamah menjatuhi hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan itu.

Terdahulu, Nik Azan yang tidak diwakili peguam merayu kepada mahkamah supaya meringankan hukuman ke atasnya kerana dia mempunyai seorang isteri dan seorang anak yang masih kecil, serta menyesal atas perbuatannya itu.

Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM Kevin Morais berkata sungguhpun tertuduh mengaku bersalah pada hari pertama dia didakwa, tertuduh adalah seorang penjawat awam yang diamanahkan menjaga keselamatan negara dan kepentingan awam menerusi Akta Imigresen.

"Amanah yang diberi kepada tertuduh telah disalahgunakan untuk kepentingan diri sendiri. Saya mohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh," katanya.

M. Bakri berkata walaupun mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh yang menjimatkan masa perbicaraan, beliau juga perlu mengambil kira kepentingan awam kerana peningkatan kemasukan warga asing secara haram telah meningkatkan kadar jenayah di negara ini. - BERNAMA

Artikel Lain