suria

Tiga Nelayan Dikhuatiri Hilang

PEKAN: Tiga nelayan dari Kampung Merchong, Nenasi di sini dikhuatiri hilang selepas keluar menangkap ikan di laut pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahaya Othman berkata ketiga-tiga nelayan itu ialah Mohamad Sharil Zulkifli, 28, Mohamad Isa Awang Ngah, 48, dan anaknya Mohamad Asri, 17.

Katanya laporan polis dibuat isteri Mohamad Sharil, Norhafizah Abu Bakar pada pukul 8.33 malam Sabtu apabila suaminya bersama dua yang lain tidak pulang ke rumah setelah keluar menangkap ikan pada 5.30 pagi Sabtu.

Pengadu mendakwa ketiga-tiga mangsa keluar menangkap ikan menggunakan sebuah bot fiber yang merupakan bot nelayan dari jeti Sungai Merchong.

"Kebiasaannya, nelayan-nelayan sekitar Nenasi akan keluar awal pagi dan dijangka pulang lingkungan pukul 12 tengah hari dan bila mangsa tidak pulang, pengadu membuat laporan kerana bimbangkan keselamatan mangsa," katanya kepada pemberita di sini Ahad.

Yahaya berkata insiden itu telah dimaklumkan kepada Pasukan Gerakan Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia untuk tindakan mencari mencari dan menyelamat. - BERNAMA

Artikel Lain