suria

Penyenaraian Keluar Bernas Dari Bursa Malaysia Hanya Sementara - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Penyenaraian keluar PadiBeras Nasional Berhad (Bernas) dari Bursa Malaysia tidak akan menjejaskan pemegang syer serta tanggungjawab syarikat ke atas pesawah dan pengilang.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata akujanji bertulis yang diterima daripada pihak Bernas juga memaklumkan penyenaraian keluar itu hanya bersifat sementara, sehingga proses penstrukturan semula syarikat berkenaan selesai.

"Bernas hendak distrukturkan semula dan ia melibatkan seluruh syarikat induk. Yang terlibat Nafas (Pertubuhan Peladang Kebangsaan) dan Nekmat (Persatuan Nelayan Kebangsaan) yang ada lebih kurang 4.7 peratus dan 4.3 peratus pegangan syer masing-masing.

"Tapi tawaran yang diberi kepada Nafas dan Nekmat sangat menguntungkan. Nilai syer sekarang yang dibeli oleh Nafas pada harga RM200,000 dahulu, akan membawa pulangan sebanyak RM60 juta jika ia dijual.

"Selepas selesai (penstrukturan semula), Bernas akan di senarai semula di Bursa Malaysia dengan Nafas dan Nekmat ditawarkan lima peratus pegangan syer syarikat, iaitu lebih banyak dari sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi Lembaga Pertubuhan Peladang di sini, Selasa.

Beliau diminta mengulas mengenai penstrukturan semula Bernas dan kesannya kepada pemegang saham.

Kabinet tidak menghalang proses berkenaan selagi Bernas tidak lari daripada tanggungjawab asal yang dilakukan sebelum ini, katanya.

Ismail Sabri juga menempelak pembangkang yang cuba membesar-besarkan isu itu yang sebenarnya memberi keuntungan kepada pihak yang terbabit.

"Soalnya sekarang, keluar atau tidak, janji Bernas dengan kerajaan itu masih kekal. Mereka janji jaga kepentingan pesawah, harga minimum padi yang dijanjikan, jaga kepentingan kilang-kilang beras Bumiputera selain menguruskan subsidi oleh kerajaan. Semua janji itu dikekalkan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian juga dalam perancangan menaik taraf Institut Pertanian Semenanjung Malaysia kepada sebuah institusi pengajian tinggi swasta yang memberi fokus kepada aspek praktikal dalam bidang itu.

"Jika kertas cadangan ini diterima Kabinet, kita akan mulakan sesi pengajian pada 2015," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau meminta para petani, pesawah dan peladang perlu menjadikan inovasi sebagai satu budaya dalam pekerjaan, termasuk dalam cara berfikir dan menyelesaikan masalah.

Inovasi bukan sahaja menyumbang kepada peningkatan hasil keluaran petani dan penternak, malah memberi pulangan kewangan yang berlipat ganda, katanya.

Beliau turut menggalakkan setiap produk inovasi yang dicipta, dipatenkan agar ia tidak disalah guna pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut menyampaikan anugerah inovasi kepada pemenang Anugerah Inovasi LPP 2013. - BERNAMA

Artikel Lain