suria

Pengusaha Makanan Digesa Pasang Perangkap Minyak Atau Lesen Ditarik - Tengku Adnan

KUALA LUMPUR: Mulai Januari depan, pengusaha makanan di Wilayah Persekutuan yang gagal memasang perangkap minyak di premis mereka akan dikenakan tindakan lebih tegas termasuk kemungkinan ditarik balik lesen.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pemasangan alat itu sebenarnya telah dilaksanakan sebelum ini, justeru langkah mengetatkan lagi penguatkuasaannya tidak sepatutnya menjadi beban kepada pengusaha berkenaan.

"Kita memang dah buat, tetapi kalau tak sempat (pasang) dia (peniaga) kena bagi maklum balas kepada DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur), tetapi kita akan mula 1 Jan bagi semua premis yang ada tempat memasak," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan (MPPPKWP) Peringkat Pusat kali kedua di sini Selasa.

Tengku Adnan berkata pemasangan perangkap minyak itu adalah tanggungan pengusaha makanan yang hanya melibatkan kos sederhana.

"Kos tidak mahal dan tidak juga murah, tetapi masalahnya ialah implikasi bila kita buang bahan berminyak ke dalam sungai. Kita ada program pembersihan Sungai Klang, kerajaan belanja berjuta-juta ringgit.

"Tetapi apabila saya lalu sendiri di (kawasan) Masjid India, walaupun sudah dibersihkan tetapi baunya masih ada. Jadi persekitaran kita tercemar," jelas Tengku Adnan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib, yang turut hadir pada majlis itu, membayangkan kemungkinan bahan yang dikutip daripada perangkap minyak itu diproses menjadi produk untuk kegunaan lain seperti kosmetik.

"Saya nak panggil mana-mana syarikat, Alam Flora khususnya, macam mana nak merawat lemak beku itu," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain