suria

Menteri Pembangunan Wanita Lawat Kanak-Kanak Yang Gagal Dapat MyKad

IPOH: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim pada Selasa melawat kanak-kanak, S. Mahalachime, yang sebelum ini gagal dalam permohonan mendapatkan MyKad.

Kegagalan itu disebabkan rupa paras dan warna kulitnya dikatakan berbeza dengan ibu bapanya.

Rohani meluangkan masa kira-kira 30 minit di kediaman keluarga Mahalachime di Taman Harmoni, Buntong di sini untuk memberi kata-kata semangat kepada kanak-kanak itu yang bertindak meminum cecair peluntur ekoran tertekan apabila gagal mendapatkan MyKad.

Keluarga kanak-kanak berkenaan akan menerima bantuan RM150 setiap bulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana keadaan mereka yang kurang mampu.

Di samping itu, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menghulurkan sumbangan 'one off' RM500 untuk membeli barang keperluan, kata Rohani.

Beliau berkata Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pula akan membawa kanak-kanak itu menghadiri kursus untuk memulihkan semangatnya.

Sabtu lepas, Mahalachime dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini selepas meminum cecair peluntur akibat malu dan tertekan dengan dakwaan rakan-rakannya kononnya dia bukan anak kandung kepada pasangan berkenaan.

Pada Selasa, Jabatan Pendaftaran Negara Perak menyerahkan MyKad kepada S.Mahalachime, 12, selepas permohonan itu tertangguh dua bulan. - BERNAMA

Artikel Lain