suria

Dua Lelaki Diberkas Selepas 10 Minit Ragut Wanita

GEORGE TOWN: Kepantasan polis bertindak selepas menerima panggilan kecemasan 999 membolehkan dua penjenayah diberkas selepas 10 minit meragut beg tangan seorang wanita, dalam kejadian di Jalan Tingkat Bukit Belah, Bayan Lepas, di sini Isnin.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, suspek yang menaiki motosikal menghampiri mangsa yang berjalan seorang diri menuju ke perhentian bas sebelum meragut beg tangan mangsa.

"Berlaku pergelutan antara suspek dan mangsa yang turut menjerit meminta pertolongan. Orang awam yang menyaksikan kejadian kemudian membuat panggilan kecemasan yang dihubungkan terus ke Balai Polis Bayan Lepas.

"Balai itu kemudian menyampaikan maklumat kepada anggota polis yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah tidak jauh dari lokasi. Kedua-dua suspek berjaya diberkas oleh anggota kita ketika cuba melarikan diri," kata Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Mohd Hatta Mohd Zain kepada pemberita, di sini.

Menurutnya pemeriksaan polis terhadap suspek berusia 27 dan 21 tahun itu menemukan sebilah pisau lipat, senjata buku lima dan playar pelbagai guna yang dipercayai diguna untuk kegiatan samun.

Ujian air kencing juga mendapati kedua-duanya positif dadah dan suspek kini ditahan reman sehingga 24 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain