suria

Lembaga Pelancongan Sabah Serah Kepada Polis Siasat Kes Culik Di Semporna

KOTA KINABALU: Lembaga Pelancongan Sabah mempunyai keyakinan penuh kepada polis untuk menyiasat dan menyelesaikan insiden pembunuhan dan penculikan pelancong asing di Pulau Pom Pom dekat Semporna awal pagi, Jumaat.

Pengerusinya Datuk Joniston Bangkuai berkata pihaknya yakin dengan kemampuan polis mengendalikan insiden itu memandangkan ini bukan kali pertama pihak berkuasa Malaysia berhadapan dengan kejadian seperti itu.

"Kita minta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi. Biarlah polis melaksanakan tugasnya," katanya ketika diminta mengulas mengenai insiden pembunuhan dan penculikan dua warga Taiwan di pulau peranginan di timur Sabah itu, Jumaat.

Dalam kejadian itu, seorang pelancong Taiwan ditemui mati dengan dua kesan tembakan di tubuhnya manakala isterinya yang juga warga Taiwan dikhuatiri diculik sekumpulan lelaki dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu.

Mangsa berumur 57 tahun itu ditemui berlumuran darah di dalam sebuah bilik di pusat peranginan di pulau berkenaan. - BERNAMA

Artikel Lain