suria

Cadangan Naik Kadar Cukai Pintu Ikut Nilai Hartanah Wajar - Ku Nan

PUTRAJAYA: Cadangan untuk menaikkan kadar cukai taksiran pintu sekitar ibu kota mengikut nilai hartanah semasa adalah wajar dan bukan bertujuan membebankan rakyat, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata ini kerana sudah 21 tahun cukai itu tidak dinaikkan.

"Harga rumah di situ lebih sejuta, dua juta tetapi mereka bayar harga lama (kadar cukai pintu lama)," katanya kepada pemberita selepas Program Hari Kanak-Kanak Wilayah Persekutuan 2013 di sini, Sabtu.

Bagaimanaoun, Tengku Adnan berkata kementerian itu hanya akan membuat keputusan muktamad berhubung kadar cukai baharu selepas mendapat maklum balas penduduk sebelum 17 Dis ini. Beliau berkata perkara itu juga akan dibincang dengan kesemua 13 wakil rakyat Wilayah Persekutuan pada 21 November ini.

Katanya, notis penyelarasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kepada warga kota baru-baru ini hanya merupakan kadar yang dicadangkan sahaja. BERNAMA

Artikel Lain