suria

Pengurus Projek Syarikat Pembinaan Dan Penyelia Jentera Berat Didakwa Pecah Amanah

PETALING JAYA: Seorang pengurus projek syarikat pembinaan dan seorang penyelia jentera berat pada Rabu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 12 pertuduhan pecah amanah membabitkan wang lebih RM180,000 empat tahun lepas.

Chen Swee Hoe, 39, menghadapi 10 pertuduhan manakala Chung Heng Voon, 38, berdepan dua pertuduhan dengan pertuduhan dibacakan di mahkamah berasingan.

Mengikut pertuduhan, Chen didakwa melakukan pecah amanah apabila dengan curang telah mengeluarkan 10 keping cek Public Bank milik Syarikat Hebat Efektif Sdn Bhd berjumlah RM113,985.52 atas namanya untuk kegunaan sendiri.

Chung turut didakwa pecah amanah dengan curang mengeluarkan dua keping cek Public Bank milik syarikat yang berjumlah RM70,000 atas namanya untuk kegunaan sendiri.

Mereka yang ketika itu masing-masing sebagai pengarah urusan syarikat didakwa melakukan semua kesalahan itu di Syarikat Hebat Efektif Sdn Bhd, Lot 7993, Jalan Batu Tiga Lama, Kampung Baru Subang di sini antara 24 Februari 2009 hingga 15 Februari 2012.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua puluh tahun dengan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Bagi tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob, Chen menghadapi dua pertuduhan dan Chung satu pertuduhan dengan masing-masing diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Bagi sembilan pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Yasmin Abdul Razak, Chen yang menghadapi lapan pertuduhan dibenarkan diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan, manakala Chung dibenarkan diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 2 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir, dan Dalira Din manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Goh Kim Lian. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain