suria

Polis Tahan 39 GRO Warga China

GEORGE TOWN: Polis menahan 39 wanita warga China yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dalam Ops Noda di sebuah pusat hiburan mewah di Jalan Burmah di sini malam Isnin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata pada serbuan pukul 10 malam itu, wanita berusia antara 20-an dan 40-an terbabit sedang asyik melayan pelanggan dalam premis berkenaan.

"Kesemua mereka tidak memiliki permit kerja yang sah dan menyalahgunakan pas lawatan sosial," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Katanya dalam operasi berkenaan beberapa orang GRO itu bertindak ganas dengan menarik baju seorang anggota polis sehingga terkoyak untuk mengelak dari diberkas.

Gan berkata hasil risikan polis yang menyamar sebagai pelanggan mendapati GRO berkenaan dibayar antara RM150 hingga RM200 bagi setiap sesi perkhidmatan dan dipercayai turut menawarkan khidmat seks di luar premis itu.

Beliau berkata polis turut menahan dua lelaki berumur 39 dan 58 tahun yang merupakan penjaga premis serta merekodkan keterangan daripada enam pelanggan pusat hiburan itu.

Katanya, kesemua wanita terbabit disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Peraturan-peraturan Imigresen 59/63 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi enam bulan dan denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, penjaga premis berkenaan disiasat mengikut Seksyen 55 (B) Akta Imigresen 59/63 dan jika sabit kesalahan boleh didenda minimum RM5,000 dan maksimum RM30,000 bagi setiap pendatang atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya. -BERNAMA

Artikel Lain