SPRM Cadang Wujud Agensi Penyelaras Pantau Agensi Terlibat Projek Berimpak Tinggi - Semasa | mStar

SPRM Cadang Wujud Agensi Penyelaras Pantau Agensi Terlibat Projek Berimpak Tinggi

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang (kanan) menerima Laporan Tahunan 2012 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed di pejabatnya di Parlimen, Kuala Lumpur, Rabu. -fotoBERNAMA
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang (kanan) menerima Laporan Tahunan 2012 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed di pejabatnya di Parlimen, Kuala Lumpur, Rabu. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu mencadangkan kerajaan menubuhkan sebuah agensi penyelaras untuk memantau secara khusus agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam projek berimpak tinggi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata agensi penyelaras itu juga akan bertanggungjawab mengawal selia perkembangan dan perjalanan keseluruhan projek.

Ia adalah antara 12 cadangan penambahbaikan yang telah digariskan dalam Laporan Tahunan SPRM 2012 dan Laporan Tahunan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) 2012, berikutan kegagalan projek Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Laporan itu dikemukakan oleh Abu Kassim kepada pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) yang juga Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang di Bangunan Parlimen di sini, Rabu.

Kedua-dua laporan itu akan diteliti oleh JKMR yang dianggotai tujuh anggota Parlimen dan kemudiannya laporan penuh akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam waktu terdekat.

Bercakap kepada wartawan kemudiannya, Abu Kassim berkata laporan itu turut mencadangkan supaya memandatorikan setiap projek kerajaan yang melibatkan rundingan terus, pinjaman mudah, geran dan lain-lain kemudahan kewangan terutamanya yang melibatkan anggota pentadbiran, keluarga dan sekutu mereka, dibentangkan ke mesyuarat Kabinet.

Bagi meningkatkan ketelusan, katanya laporan itu mencadangkan supaya semua anggota pentadbiran mengisytiharkan kepentingan sekiranya anggota keluarga terdekat mereka mendapat kemudahan pinjaman daripada kerajaan.

"Kementerian Kewangan perlu menyediakan satu garis panduan standard, jelas serta telus berhubung pinjaman mudah bagi mengelakkan timbulnya persepsi negatif atau keraguan.

"Kementerian Kewangan juga perlu menyediakan kriteria yang jelas menentukan jumlah sesuatu pinjaman mudah serta memastikan permohonan dibentangkan di peringkat Kabinet terlebih dahulu untuk kelulusan dan mewujudkan satu standard dokumentasi apabila satu kelulusan dasar dibuat terutama melibatkan kepentingan negara serta rakyat," katanya.

Abu Kassim turut meminta kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah yang bertanggungjawab melantik, mengesah dan meluluskan kenaikan pangkat anggota SPRM.

Menurutnya Seksyen 23 Akta SPRM 2009 perlu dipinda kerana ia didapati boleh mewujudkan ruang dan peluang bagi penyalahgunaan kuasa khususnya berhubung isu pemberian kontrak, tender, tanah, perolehan atau sebagainya oleh seseorang anggota pentadbiran kepada anggota keluarga terdekat.

"Pihak pendakwaan SPRM telah pun mengenal pasti beberapa peruntukan di dalam akta ini yang perlu dipinda demi kejayaan pendakwaan kes rasuah di mahkamah. Sehubungan itu, LPPR berharap tindakan akan diambil dengan pihak relevan untuk menghasilkan matlamat ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abu Kassim juga menarik perhatian mengenai kejayaan SPRM sepanjang 2012 termasuk peningkatan kadar sabitan iaitu 85 peratus tahun lepas berbanding 75 peratus 2011, 71 peratus 2010 dan 54 peratus 2009.

"Ini telah mencapai standard antarabangsa kerana dapat melepasi 80 peratus. Ini terhasil sumbangan semua peringkat tugas iaitu perisikan, siasatan dan pendakwaan," katanya.

Beliau berkata keseluruhan denda dikenakan ke atas pesalah rasuah mencatatkan RM14,570,799.

Sepanjang tahun lepas, SPRM menerima 5,496 aduan berunsur rasuah dan 1,078 kertas siasatan telah dibuka, manakala 701 orang telah ditangkap dengan 75 peratus kertas siasatan berjaya disiapkan dalam tempoh itu.

"Kejayaan pendakwaan tahun lepas mencatatkan peningkatan dan keseluruhan pertuduhan 313 orang iaitu melibatkan 33.5 peratus penjawat awam, 53 peratus orang awam, 13 peratus sektor swasta dan 0.5 peratus ahli politik," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Seramai 470,395 Calon Duduki SPM Hari Ini

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

Artikel Lain