suria

Hentikan Segera Taktik Kotor - Chang

KUALA LUMPUR: Pemangku Presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn berkata beliau amat bimbang dengan taktik keji dalam kempen menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) terhadap calon-calon tertentu yang bertanding bagi jawatan utama dalam pemilihan parti, Sabtu depan.

Menyifatkan taktik memburuk-burukkan calon sebagai tidak sihat, beliau berkata serangan peribadi terhadap calon tidak pernah berlaku dalam parti khususnya sebelum proses penamaan calon.

"Saya terkejut ia berlaku sebaik sahaja saya mengumumkan tidak akan bertanding jawatan presiden pada Selasa lepas. Ini adalah taktik kotor dan ia perlu dihentikan segera. "Daripada fakta yang kita kumpul, kempen kotor itu dijalankan oleh penyokong-penyokong yang taksub dan bukan oleh mana-mana pemimpin parti," katanya kepada Bernama hari ini tanpa menamakan calon pemimpin yang menjadi mangsa kempen tersebut.

Bagaimanapun, naib presiden dan pemangku setiausaha agung parti, Datuk Mah Siew Keong ketika mengumumkan hasratnya bertanding jawatan presiden hari ini berkata beliau menjadi mangsa kempen kotor itu oleh penyokong-penyokong yang taksub dengan pemimpin-pemimpin tertentu.

Chang berkata proses pemilihan parti dijalankan secara adil dan telus dengan tumpuan diberikan kepada manifesto, integriti dan kemampuan calon untuk bekerja demi parti.

Justeru, beliau berharap perwakilan parti akan menggunakan tiga kriteria tersebut dalam memilih pemimpin tanpa dipengaruhi oleh kempen memburuk-burukkan calon yang berleluasa seperti yang berlaku dalam beberapa parti politik lain.

Beliau berkata proses pencalonan parti di peringkat cawangan, bahagian dan negeri serta jawatan utama dalam sayap Wanita dan Pemuda berjalan lancar dan berharap ia akan diteruskan pada pemilihan jawatan utama parti nanti.

Beliau meminta semua ahli supaya menjauhkan diri daripada kempen kotor seperti itu kerana semua calon bertanding dalam semangat keluargaan dan bukan musuh sesama sendiri. "Anda perlu ingat, selepas pemilihan, anda semua perlu bekerja bersama-sama. Jika anda menggunakan taktik ini, ia akan menyukarkan kerjasama pada masa depan.

"Saya harap semua calon serta penyokong masing-masing tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya seperti percubaan pembunuhan watak calon lawan," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain