suria

Najib Yakin PBS Lakukan Penyesuaian Untuk Kukuhkan BN

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yakin Parti Bersatu Sabah (PBS) akan mengambil langkah wajar untuk menyesuaikan diri dengan lanskap politik baharu tanah air agar terus relevan dan mengukuhkan kekuatan Barisan Nasional (BN) di rantau ini.

Beliau yang juga Pengerusi BN pusat berkata senario politik masa kini memerlukan penyesuaian corak pemikiran khusus untuk menangani kebangkitan generasi baharu yang lebih canggih dari segi pemikiran dan permintaan.

"Cabaran kita adalah untuk memenuhi aspirasi rakyat yang datangnya dari berbagai suku-bangsa dan agama. Kita harus membentuk pelantar perjuangan politik yang baharu serta strategi politik untuk menghasilkan formula kerjasama antara kaum yang baru, adil dan saksama.

"Kita harus terus memupuk semangat kerjasama, tolak ansur dan sikap sederhana yang telah menjadi asas penubuhan negara kita 50 tahun lalu," katanya dalam perutusan sempena Persidangan Perwakilan Tahunan PBS yang diadakan di sini selama tiga hari bermula 21 Oktober.

Sempena persidangan itu, Najib berterima kasih kepada semua anggota serta pemimpin PBS di semua peringkat yang telah bekerja keras dan seterusnya menyumbang kepada kemenangan BN dalam pilihan raya umum, baru-baru ini.

"Sebagai rakan seperjuangan dalam Barisan Nasional, PBS (pimpinan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan) telah menunjukkan kesetiaan dan kesungguhannya untuk memastikan BN kembali berkuasa baik di peringkat kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan Sabah.

"Saya percaya kuncinya adalah persefahaman, kerjasama dan sikap bertolak ansur yang terus diamalkan antara parti-parti komponen dalam BN selama ini," katanya.

Najib turut mengajak anggota dan pemimpin PBS agar bersama-sama beliau memikirkan tentang masa depan BN dengan memfokuskan kepada usaha untuk meningkatkan keyakinan rakyat terhadap perjuangan BN.

"Kita harus bekerja keras untuk membina BN sebagai sebuah bahtera politik yang besar, mantap dan relevan untuk semua kaum di negara ini," katanya.

Mengenai pemilihan kepimpinan PBS kali ini, Najib berharap para pemimpin PBS akan terus mengekalkan perpaduan dan kestabilan dalam parti ke arah kejayaan, sekali gus terus menyumbang kepada kekuatan BN pada masa akan datang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain