suria

Toh Puan Zaitun Kekal Ketua Wanita Umno Marang

KUALA TERENGGANU: Ketua Pergerakan Wanita Umno bahagian Marang, Toh Puan Zaitun Mat Amin berjaya mempertahan jawatannya pada pemilihan sayap parti itu pada Sabtu.

Bendahari Pergerakan Wanita Umno Perhubungan Negeri Terengganu itu, yang menyandang jawatan berkenaan sejak tiga penggal lepas, turut terpilih menganggotai Exco Pergerakan Wanita Malaysia pada pemilihan Sabtu.

Zaitun, 56, ketika dihubungi Bernama, berterima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, dan Ketua Pergerakan Wanita Umno Perhubungan negeri, Datuk Fatimah Hamat kerana mencadangkan namanya bagi mewakili Terengganu.

Sementara itu, calon Ketua Wanita Umno Hulu Terengganu Datuk Fatimah Hamat, yang menang tanpa bertanding, berhasrat untuk tidak mempertahan jawatan berkenaan pada penggal depan setelah menyandangnya selama dua penggal.

Ketua Wanita Umno Terengganu itu juga berkata beliau ingin mengundurkan diri untuk memberi peluang kepada muka baru menerajui kepimpinan negeri.

"Saya telah menerajui hampir 18 tahun dan insya-Allah sebelum berundur, saya akan bina satu set pelapis untuk mereka menjalankan kelangsungan yang telah ditetapkan parti supaya pergerakan Wanita berada dalam keadaan baik," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain