suria

Seorang Buruh Maut Motosikal Bertembung Kereta

DUNGUN: Seorang buruh maut setelah motosikal yang ditunggangi bertembung dengan sebuah kereta di Simpang Tiga Taman Murni Perdana, di sini, Rabu.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, Ahmad Adzlizan Mohamed, 24, yang bekerja di syarikat Petrokimia di Kerteh, Kemaman meninggal selepas 10 jam menerima rawatan di Hospital Dungun.

Menurut rakan mangsa Sufian A. Rahman, 25, mangsa dikatakan tergesa-gesa pulang ke rumah sewa yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian ketika waktu rehat makan tengah hari, Rabu.

"Saya sebelum itu minta arwah menemani saya makan, namun arwah tetap bertegas untuk pulang kerana ingin berehat. "Namun, sebaik menyambung kerja pada 2 petang, saya tidak nampak kelibat arwah di tapak kerja sebelum beberapa rakan memaklumkan arwah terbabit dalam kemalangan," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Dungun di sini, Khamis.

Beliau berkata rakannya itu berasal dari Seberang Takir, Kuala Terengganu bekerja di situ sejak setahun lalu dan disenangi rakan sekerja.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacub berkata, mangsa dibawa ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan, bagaimanapun meninggal kira-kira pukul 10.30 malam tadi. -BERNAMA

Artikel Lain