Pelaksanaan GST Masih Dalam Kajian - Abdul Wahid - Semasa | mStar

Pelaksanaan GST Masih Dalam Kajian - Abdul Wahid

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang menjalankan kajian berkaitan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bagi menilai impaknya terhadap kadar inflasi dan kaedah terbaik pelaksanaannya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Menjawab soalan Senator Khairiah Mohamed yang ingin tahu bilakah kerajaan akan memperkenalkan GST, Abdul Wahid memberitahu Dewan Negara hari ini, bahawa tarikh pelaksanaannya masih belum ditetapkan.

Beliau menjelaskan, pelaksanaan GST bagi menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan, merupakan satu daripada pendekatan jangka panjang kerajaan bagi meningkatkan hasil pendapatan negara.

"Cukai ini lebih komprehensif mencakupi hampir semua barangan dan perkhidmatan berbanding cukai jualan dan perkhidmatan yang tertakluk kepada paras nilai yang tertentu," katanya.

Beliau berkata antara langkah lain untuk meningkatkan hasil negara ialah melalui syarikat minyak negara, Petronas yang akan terus meneroka potensi baharu di sektor berkaitan bagi mengekalkan tahap produksi minyak dan gas negara.

"Jumlah hasil petroleum meningkat daripada RM66.3 bilion pada 2011 kepada RM70.1 bilion pada 2012.

"Setakat Januari 2013, negara mempunyai rizab minyak berjumlah 5.85 bilion tong, dan ini berdasarkan kepada pengeluaran kita iaitu secara purata 600 tong sehari.

"Jadi jangka hayat sumber minyak kita adalah lebih kurang 27 tahun lagi," katanya. Abdul Wahid berkata kerajaan juga sedang berusaha meningkatkan aktiviti ekonomi domestik menerusi pelaksanaan projek utama di bawah Program Transformasi Ekonomi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel