suria

KPDNKK Sedia Pertimbang Cadangan KR1M Hanya Untuk Rakyat Tempatan

SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedia mempertimbang cadangan hanya rakyat tempatan dibenar membeli barangan di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).

Menterinya, Datuk Hasan Malek berkata ini kerana KR1M diwujud sebagai alternatif kepada rakyat Malaysia berpendapatan rendah untuk memperoleh barangan keperluan asas pada harga lebih rendah.

"Kalau ini hasrat daripada rakyat, kita akan buatkan dasar kerana KR1M adalah subsidi dan bantuan yang disediakan kerajaan (untuk rakyat Malaysia). Kita tidak mahu orang luar (warga asing) menerima kemudahan yang sama. "Kalau ada cadangan, saya akan cuba bawa ke kabinet atau dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno kerana kerajaan sangat prihatin terhadap suara rakyat. Tetapi setakat hari ini, kita benarkan (warga asing membeli di KR1M)," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan kempen kesedaran pengguna bersama skuad pengguna dan ketua masyarakat di sini, Ahad.

Hasan berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan pelbagai pihak agar kerajaan mengehadkan hanya rakyat tempatan dibenar membeli barangan di KR1M.

Sehingga kini, sejumlah 99 KR1M beroperasi di seluruh negara, yang menawarkan sebanyak 397 produk berjenama 1Malaysia pada harga lebih rendah sehingga 50 peratus berbanding barangan sama daripada jenama lain.

Terdahulu, dalam ucapannya, Hasan berkata skuad pengguna terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO) serta orang awam yang berperanan menyalurkan aduan berhubung harga barangan dan sebagainya kepada kementerian untuk diambil tindakan susulan dengan segera.

"Peranan skuad pengguna amat besar impaknya dalam aktiviti penawaran dan permintaan dalam pasaran ekonomi negara ini kerana suara pengguna yang bergabung dapat mewujudkan mekanisme desakan yang kuat. "Penglibatan ketua masyarakat dalam skuad pengguna ini akan lebih memudahkan penyebaran ilmu kepenggunaan kepada masyarakat," katanya sambil menambah setakat ini, skuad pengguna dianggotai sejumlah 152,237 orang.

Beliau berkata KPDNKK memberi kuasa kepada sejumlah 688 penghulu dan penggawa di seluruh negara untuk menguatkuasakan tiga undang-undang iaitu Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972 serta Akta Kawalan Bekalan 1961 di kawasan masing-masing. -BERNAMA

Artikel Lain