suria

Lelaki Maut Dalam Kemalangan Kereta, MPV Dan Dua Lori Tangki

JOHOR BAHARU: Seorang lelaki terbunuh manakala tiga yang lain cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan dua lori tangki di Km29 Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) dekat Kulaijaya, awal hari Selasa.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya Supt Zulkefly Yahya berkata kejadian pada pukul 5.30 pagi itu menyebabkan pemandu kereta Honda City, Eng Boon Pin, 29, mati di tempat kejadian manakala rakan wanitanya, Khong Yin Ngee, 25, cedera ringan.

"Eng yang berasal dari Taman Gunung Lambak dekat Kluang bersama rakan wanitanya itu dalam perjalanan ke utara dan kemalangan itu dipercayai berlaku apabila dia gagal mengawal kenderaan lalu melanggar penghadang kiri jalan," katanya ketika dihubungi, Selasa.

Zulkefly berkata sebuah lori tangki kemudian melanggar kereta berkenaan dari arah belakang menyebabkan kereta itu terbelah dua sebelum sebuah lagi lori tangki dan sebuah MPV Toyota Alphard melanggar kedua-dua bahagian kenderaan terbabit.

Beliau berkata pemandu Toyota Alphard, Tan Ah Seng, 32, dan penumpangnya, Wang Zhi Hua, 36, yang berasal dari Taman Pulai Flora, Skudai, di sini cedera ringan manakala kedua-dua pemandu lori terbabit tidak cedera.

Mayat Eng dan kesemua mangsa yang cedera itu dihantar ke Hospital Kulaijaya, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

14 Bahagian Kedah Sokong Soi Lek

Artikel Lain