suria

Lelaki Warga Emas Maut, Isteri Cedera Dalam Kejadian Samun Di Balik Pulau

BALIK PULAU: Seorang lelaki warga emas maut manakala isterinya cedera dalam kejadian samun di rumah mereka di Jalan Tun Sardon, di sini Rabu.

Chin Len Wong, 83, ditemui anak lelakinya, Chin Hui Ming, 49, dalam keadaan berlumuran darah dan masih bernafas pada pukul 9 pagi.

Dia mati beberapa minit kemudian.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Mohd Hatta Mohd Zain berkata kejadian itu turut menyebabkan isteri mangsa, Chang Yook Kee, 71, patah tangan dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang.

"Mangsa dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul di bahagian kepala sehingga menyebabkan kematiannya," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Beliau berkata pasangan suami isteri itu tinggal berdua di rumah yang dikelilingi kebun durian dan ladang getah seluas 2.83 hektar milik mereka. Anak mereka yang bekerja kilang biasanya menghantar makanan kepada pasangan warga emas itu pada waktu pagi.

"Memang terdapat satu atau dua kes seumpama ini berlaku iaitu suspek menyasarkan rumah terpencil. Kami ada beberapa gambar suspek dan fotofit...kemungkinan ia melibatkan suspek sama atau lain," katanya.

Beliau berkata polis akan menjalankan gerakan besar-besaran untuk mengesan penjenayah terbabit.

Mohd Hatta berkata polis percaya jenayah itu dilakukan lebih dari seorang dan anggaran kerugian yang berupa barang-barang kemas dan wang tunai belum diketahui. - BERNAMA

Artikel Lain