suria

PPM Soal Pendidikan, Bukan Politik - Muhyiddin

LONDON: Langkah meningkatkan tempoh masa pembelajaran subjek Bahasa Malaysia (BM) daripada 180 minit kepada 240 minit seminggu di semua sekolah vernakular adalah hasil kajian dan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tegas Timbalan Perdana Menteri keputusan itu tidak ada kaitan dengan politik sebaliknya merupakan agenda pendidikan yang dirumus oleh pakar.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, langkah itu dikemuka kerana kementerian tidak mahu melihat murid sekolah vernakular mengikuti pembelajaran subjek BM pada tahap teramat rendah berbanding pelajar sekolah kebangsaan.

"Kementerian tidak membuat keputusan dengan sewenang-wenangnya hanya untuk menguatkuasakan ia semata-mata. Ini soal pendidikan, bukan politik. Saya bukan pakar pengajar, bukan menteri yang menyimpulkan berapa tempoh masa paling sesuai untuk sesi itu, tapi pakar pengajar yang merumuskannya," katanya dalam sidang media, di sini pada Khamis.

Muhyiddin yang berada di sini dalam rangka lawatan kerja lima hari ke United Kingdom (UK), berkata beliau membangkitkan perkara itu susulan kritikan sesetengah pihak.

Lanjutan tempoh masa pembelajaran subjek BM di sekolah vernakular adalah antara ketetapan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilancar oleh Muhyiddin di Kuala Lumpur, minggu lepas.

Ditanya mengenai perbuatan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang masih mengkritik PPPM, Muhyiddin berkata, beliau tidak mahu mengulas setiap perkara yang dibangkitkan oleh persatuan itu.

Ini kerana katanya Dong Zong akan terus mengkritik.

Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri berkata sejak dilancarkan, PPPM menerima banyak maklum balas termasuk menerusi kira-kira 55,000 khidmat pesanan ringkas (SMS) yang rata-rata mahu melihat kejayaan sistem pendidikan negara.

Ada juga pihak yang mahu Kementerian Pendidikan melibatkan mereka secara berterusan bagi mendapat maklumat terkini mengenai perkembangan pelan induk pendidikan negara itu, katanya.

Menurut Muhyiddin, kementerian tidak mempunyai masalah berhubung penglibatan pihak berkenaan dalam PPPM, namun sewajarnya kementerian itu juga diberi peluang menjelaskan secara terperinci pelan tersebut mengikut fasa yang ditetapkan.

Muhyiddin sebelum itu menghadiri 'Forum Merdeka 2013: 56 Years of Merdeka, Road to 2020' anjuran pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di UK.

Kira-kira 300 hadirin mendengar buah fikiran anggota panel forum iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Prof Madya Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mengenai sejarah, isu semasa dan masa depan negara.

Muhyiddin turut menyampaikan syarahan di samping menjawab pelbagai soalan daripada hadirin yang kebanyakan berkisar mengenai semangat patriotisme.

Forum itu merupakan program terakhir dalam atur cara lawatan kerja lima hari Muhyiddin ke UK. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno Patut Contohi YES - PM

Artikel Lain