suria

Salahkan Media Amalan Biasa, Guan Eng - Isa Samad

KOTA TINGGI: Bekas Naib Presiden Umno Tan Sri Mohd Isa Samad menganggap tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyalahkan media kononnya tersalah tafsir kenyataannya berhubung larangan penayangan filem Tanda Putera bukan sesuatu yang mengejutkan.

Beliau yang juga Pengerusi Felda berkata sudah menjadi amalan pemimpin berkenaan menjadikan media sebagai sasaran setiap kali kenyataannya mendapat tentangan rakyat.

"Dahulu semasa menjadi pembangkang mereka sering membuat bantahan kerana tidak ada kebebasan bersuara, namun kini apabila telah menjadi kerajaan, mereka lupa apa yang diperjuangkan.

"Jadi apabila kenyataannya mendapat tentangan orang ramai, beliau akan jadikan media sebagai sasaran dan ini bukan satu perkara luar biasa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Felda Lok Heng di sini hari ini yang dihadiri oleh lebih 1,000 penduduk dari kawasan sekitar.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Guan Eng semalam yang menyifatkan media sebagai tersalah tafsir kenyataannya berhubung larangan tayangan filem sejarah arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba iaitu Tanda Putera di Pulau Pinang.

Mengulas lanjut Isa berkata, isu berkenaan juga sengaja dicetuskan Guan Eng untuk mengalih perhatian anggota DAP daripada tertumpu kepada soal pemilihan jawatankuasa eksekutif pusatnya (CEC).

"Ini cara melarikan diri daripada isu ini (pemilihan CEC), mereka alih perhatian dengan menceritakan kononnya filem ini memperjuangkan satu kaum sahaja, ini tidak bagus. "Filem ini berbentuk sejarah dan dia kena terima walaupun sebahagian kecil terasa... kita tidak boleh ubah kerana itu namanya sejarah. Mereka tidak perlu khuatir sebaliknya semua kaum di negara ini sepatutnya mengambil iktibar agar ia tidak berulang," katanya.

Katanya, semua kaum di negara ini dilindungi dengan perlembagaan negara yang telah dibentuk semasa Malaysia mencapai kemerdekaan dan semua pihak seharusnya menghormati kontrak sosial yang termeterai.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Isa berkata, Felda akan mengadakan satu seminar tentang Syiah pada 9 Sept ini di ibu negara bagi menyedarkan masyarakat Felda tentang bahayanya fahaman itu.

"Seminar yang dijangka akan disertai kira-kira 500 peserta terdiri daripada pemimpin dan ketua peneroka dari seluruh negara ini, diadakan bertujuan untuk menjelaskan kepada mereka mengenai Syiah dan mengapa ia berlawanan daripada Sunnah Waljamaah.

"Jadi kita harap selepas memperoleh pengetahuan itu, mereka balik dan dapat menerangkannya pula kepada anak buah untuk mengelakkan fahaman ini menular di kawasan Felda," katanya.

Bagaimanapun, setakat ini beliau belum menerima sebarang laporan berhubung wujudnya amalan Syiah di kalangan peneroka Felda. -BERNAMA

Artikel Lain