suria

Peguam Negara Akan Fail Rayuan Kes Altantuya - Gani Patail

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan membebas dan melepaskan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) daripada sabitan dan hukuman mati kerana membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu, tujuh tahun lepas.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata bukan arahan oleh hakim perbicaraan mengenai isu-isu yang dibangkitkan oleh perayu menimbulkan salah arah dan tidak memanggil DSP Musa Hj Safri membentuk alasan utama untuk mengetepikan sabitan dan hukuman.

"Sementara menghormati Mahkamah Rayuan, Jabatan Peguam Negara bagi pihak pendakwaan tidak berpuas hati dengan keputusan itu kerana bukan arahan atau salah arah oleh mahkamah itu bukan kesalahan pendakwaan," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

"Setakat berkenaan DSP Musa Hj Safri, kami menegaskan bahawa testimoni beliau tidak relevan sama sekali kerana naratif keseluruhan kes pendakwaan itu telah berlaku pada perbicaraan itu.

"Oleh itu rayuan kepada Mahkamah Persekutuan akan difailkan," kata Abdul Gani dalam kenyataan itu yang tidak menyebut bila rayuan itu akan dikemukakan.

Cif Inspektor Azilah Hadri, 37 dan Koperal Sirul Azhar Umar, 42, disabitkan dan dikenakan hukuman mati oleh Mahkamah Tingggi Shah Alam pada 9 April, 2009 kerana membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam, antara 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober, 2006.

Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Jumaat membenarkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman oleh kedua-dua perayu itu. -BERNAMA

Artikel Lain