suria

Keputusan Petisyen Parlimen Bukit Katil, DUN Bukit Baru 5 September

MELAKA: Mahkamah Pilihan Raya di sini, Khamis menetapkan 5 September bagi keputusan bantahan awal petisyen pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) bagi kerusi Parlimen Bukit Katil dan Dewan Undangan Negeri (DUN)Bukit Baru.

Hakim Datuk Hue Siew Kheng membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan lisan dan bertulis pihak responden dan pempetisyen.

Bantahan awal itu dipohon responden iaitu anggota Parlimen Bukit Katil Shamsul Iskandar Mohd Akin daripada PKR, Adun Bukit Baru Dr Md Khalid Kassim daripada PAS, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Rusnani Latif dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap petisyen difailkan bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Karim Yaacob daripada Barisan Nasional (BN) pada 11 Jun lepas untuk memohon perisytiharan keputusan PRU-13 bagi kerusi itu sebagai tidak sah dan batal.

Pada prosiding itu, Shamsul Iskandar dan Md Khalid yang diwakili peguam Yusof Rahmat dan Zulkhairi Ab Aziz mengemukakan hujahan ringkas bahawa pihak pempetisyen hanya membuat 'serkap jarang' berhubung salah laku yang berlaku pada pilihan raya umum kerana tidak menyatakan nama dan masa sebaliknya hanya menyatakan tempat kesalahan dilakukan.

Bagaimanapun, Mohd Ali, calon BN kerusi Parlimen Bukit Katil dan Karim, calon BN kerusi DUN Bukit Baru yang diwakili peguam Rosfinah Rahmat dan Mohd Adli Ithnin mengemukakan hujah balas menyatakan perkara itu sebagai bukti dan tidak perlu dikemukakan pada peringkat notis bantahan awal.

Sementara itu, Rusnani dan SPR yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan Effandi Nazila Abdullah dan peguam M. Kogilambigai menyatakan bahawa pihak mereka tidak mempunyai sebarang kaitan dengan alasan yang dikemukakan dalam petisyen berkenaan.

Rosfinah ketika ditemui pemberita berkata pihaknya mengemukakan hujahan bertulis berdasarkan beberapa alasan termasuk pengaruh tidak wajar oleh pihak PAS dan PKR dengan menggunakan bahan kempen dan merayu undi pada kawasan lingkungan 50 meter dari pusat mengundi pada hari pengundian.

Pada PRU13, Mohd Ali tewas kepada Shamsul Iskandar dengan majoriti 5,447 undi manakala Karim yang juga Ketua Pemuda BN Melaka kalah tipis dengan majoriti 48 undi kepada Khalid. -BERNAMA

Artikel Lain