suria

Helikopter Intip Kediaman, Pergerakan Ketua Pemuda MCA

Dr Wee menunjukkan helikopter kawalan jauh kepada anggota polis di Wisma MCA, Jumaat.
Dr Wee menunjukkan helikopter kawalan jauh kepada anggota polis di Wisma MCA, Jumaat.
Dr Wee menunjukkan helikopter kawalan jauh kepada anggota polis di Wisma MCA, Jumaat.

KUALA LUMPUR: Sebuah helikopter menggunakan alat kawalan jauh didakwa telah mengintip banglo Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong di Bukit Tiara, Cheras.

Dr Wee berkata helikopter mudah alih jenis 'hexacopter' itu ditemui oleh anak jirannya pada 8 Ogos lalu.

"Adakah saya seorang pengganas? Ini adalah satu pencerobohan privasi. Mereka (pelaku) tidak mempunyai hak untuk berbuat demikian," katanya pada sidang akhbar di sini, Jumaat.

Menurut Dr Wee, 'hexacopter' tersebut terlanggar antena televisyen di bumbung rumah jirannya sebelum terjatuh di atas balkoni.

Anak jirannya yang berusia 14 tahun menemui kenderaan itu dan memaklumkan kepada ibu bapanya tetapi ibu bapanya tidak mengesyaki apa-apa yang tidak kena dan menyuruh ia dibuang.

Walau bagaimanapun, kanak-kanak itu telah mengeluarkan cip dari kamera video kecil yang diletakkan pada helikopter itu dan memainkan cip itu pada komputer bersama kakaknya yang berusia 15 tahun.

Apa yang dilihat adalah mengejutkan dan keluarga tersebut dengan segera memberitahu perkara itu kepada Dr Wee.

Dr Wee hanya mengambil helikopter kawalan jauh itu pada hari Khamis.

Dr Wee, yang menayangkan lima klip video pendek yang diekstrak daripada cip dengan catatan tarikh 5 Ogos, berkata 'hexacopter' itu bertujuan mengintip rumah beliau dan jirannya.

Klip video menunjukkan dua orang lelaki yang sedang mengendalikan 'hexacopter' sebelum ia diterbangkan.

Dalam satu lagi paparan, rakaman pada skrin kamera 'dihentikan' apabila seorang pengawal keselamatan membuat rondaan dan ia disambung semula apabila pengawal keselamatan berlalu.

Ditanya mengenai kemungkinan motif, bekas Timbalan Menteri Pelajaran ini berkata beliau tidak akan membuat spekulasi, tetapi menambah bahawa ia adalah perkara biasa mengintip aktiviti dan pergerakan ke atas pemimpin-pemimpin yang berpotensi sebelum pilihan raya parti.

"Saya menggesa Perdana Menteri, Kementerian Dalam Negeri dan polis untuk memantau mereka yang mempunyai hobi yang menggunakan kapal itu kerana ia boleh digunakan untuk aktiviti-aktiviti jenayah. Jika terdapat aktiviti sedemikian, ia mesti dibendung," katanya.

Dr Wee telah membuat laporan berkenaan 'hexacopter' di ibu pejabat polis di sini, dan pegawai kemudiannya merekodkan kenyataan beliau di Wisma MCA.

Artikel Lain