suria

Taib Dijangka Kekal Sebagai Presiden PBB

Tan Sri Abdul Taib Mahmud
Tan Sri Abdul Taib Mahmud
Tan Sri Abdul Taib Mahmud

KUCHING: Dengan tempoh kurang tiga bulan konvensyen Parti Pesaka Bumiputera bakal diadakan, tiada tanda-tanda Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan melepaskan jawatannya sebagai presiden parti walaupun telah 32 tahun memegang jawatan berkenaan.

Spekulasi itu bertiup kencang ekoran kenyataan Taib apabila beliau menyatakan akan melepaskan jawatannya selepas pilihan raya negeri pada 2011.

Taib dilaporkan berkata pada sidang media 19 Mac 2011, bahawa beliau komited dengan usaha untuk memastikan peralihan kuasa berjalan lancar dan dia merancang untuk menyerahkan kuasa dalam tempoh separuh penggal berkenaan.

Bagaiamanapun, tiada sebarang tanda yang menunjukkan ia akan berlangsung secepat mungkin dan besar kemungkinan Taib akan sekali kekal sebagai presiden parti yang menjadi tulang belakang Barisan Nasional negeri tanpa dicabar.

Ahli Majlis Tertinggi PBB, Abdul Karim Rahman Hamzah turut menolak spekulasi Taib akan meletakkan jawatannya, beliau menyifatkan berita mengenai peralihan kuasa kepimpinan parti hanyalah khabar angin.

"Bukan itu sahaja, borang pencalonan bagi beberapa jawatan juga tidak diedarkan oleh ibu pejabat kami,"

Timbalan Presiden PBB, Tan Sri Alfred Jabu yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata tiada kejutan yang dijangka berlaku pada konvensyen berkenaan.

Selari dengan pendirian itu, Timbalan Ketua Penerangan PBB, Datuk Peter Minos berkata jika ada yang mahu bertanding jawatan tertinggi parti, terutamanya jawatan Naib Presiden dan ke atas, ia adalah kerana mereka mahu meletakkan jawatan.

Namun setakat ini, tiada seorang pun ahli exco menyatakan hasrat untuk berbuat demikian.

Ketepikan soal konvensyen, Taib telah menjadi perhatian ketika rumah terbuka Hari Raya anjurannya minggu lalu. Beliau turut diiringi Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Naib Presiden Kanan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Tiada rahsia kedua-dua pemimpin berkenaan merupakan dua individu yang berpotensi bakal menggantikan Taib dan ada ahli PBB percaya Taib akan mengambil peluang untuk membimbing mereka ketika lawatan rumah terbuka berkenaan.

"Ketua Menteri berseorangan dalam helikopter, beliau ditemani Abang Johari dan Awang Tengah dalam satu lagi helikopter. Mungkin, Ketua Menteri sedang cuba untuk mengukuhkan hubungan mereka dan bekerjasama dengan lebih rapat sebelum beliau meletakkan jawatannya," kata sumber dalaman PBB.

Sumber berkenaan berkata, dalam ucapannya Taib juga akan berhenti, selepas beliau menyebut perkataan, “yang lama berganti yang baru”.

Bagaimanapun, pemimpin kanan PBB, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata orang ramai tidak harus mengambil serius apa yang berlaku ketika rumah terbuka Hari Raya itu.

Beliau berkata Hari Raya merupakan hari untuk bergembira, bersatu-padu dan bermaaf-maafan yang juga merupakan nilai-nilai yang dituntut dalam Islam.

"Tiada keperluan untuk meneka sebaliknya. Imaginasi liar akan hanya mengemukakan banyak andaian dan saya tidak akan berbuat demikian.

"Taib ialah pemimpin BN negeri dan ketua pentadbiran negeri, saya tidak lihat apa kepentingan untuk membuat spekulasi mengenai Johari dan Tengah hanya kerana mereka pergi melawat dan membuat kerja bersama-sama," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain