suria

Idris Jusoh Mahu Pertahan Kerusi MT Umno

BESUT: Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh bersedia mempertahankan jawatan dalam Majlis Tertinggi (MT) Umno pada pemilihan parti Oktober ini.

Bekas Menteri Besar Terengganu dan Ahli Parlimen Besut itu berharap perwakilan parti akan memberi peluang untuk beliau berkhidmat kepada parti.

Pada pemilihan parti 2009, Idris memperoleh 1,275 undi untuk menduduki tempat ke-24 dalam MT.

"Saya sekadar mahu mempertahankan jawatan saya dan akan mendaftar untuk bertanding bagi 25-jawatan MT tidak lama lagi," katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di Dewan Gong Kemuntong, Jerteh, di sini, Jumaat.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 merupakan pelan luar biasa oleh kerajaan dalam melonjakkan pendidikan negara ke tahap dunia.

Katanya pakar-pakar yang merancang pelan itu terdiri daripada pelbagai latar belakang yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tertentu dan telah membuktikan kejayaan mereka di peringkat dunia.

Menurutnya antara mereka termasuk Tan Sri Zahir Ismail, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, Tan Sri Tony Fernandes dan Tan Sri Jeffery Cheah.

"Bagi memantapkan perancangan ini seramai 17,000 pandangan penduduk turut diambil kira untuk merumus PPPM ini yang mengambil tempoh selama lebih dua tahun," katanya.

Idris berkata bagi memantapkan lagi PPPM, ramai pendapat pakar dari dalam dan luar negara termasuk oleh Bank Dunia dan badan Penarafan Antarabangsa diguna pakai dalam memastikan pelan pendidikan itu lengkap dan praktikal.

Justeru, beliau hairan masih terdapat pandang-pandang negatif dilontar oleh pihak tertentu mengenai PPPM.

Katanya PPPM akan dilancar oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pendidikan, bulan depan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain